Monday, March 14, 2016

AKU DAN PRUBSN

Aku tahu ramai yang tahu akan kepentingan takaful, kalian ada kesedaran itu. Kadang2 tak sempat aku cerita, kalian dah boleh sambung ayat aku. Contoh aku, dari tahun 2013 lagi aku duk perhati tentang takaful ni. Aku ikuti perkembangannya dari hari ke hari. Tapi aku "take no action". Sehinggalah pada Jun 2015, aku terjumpa seorang ejen, sebenarnya aku tak tahu dia ejen pon, tapi sifat aku suka tegur orang. Masa tu memang aku dah rase betol2 nak ambik takaful untu diri aku, tapi tak tahu nak ambik dengan sapa. Pabila aku jumpa dia di Pejabat Yayasan Amal Terengganu, (temuduga cikgu tuisyen), dia just teman adik dia. Bila dia perkenalkan diri dia sebagai ejen takaful, terus keluar dari mulut aku, " cuba awak cerita pasal takaful supaya saya tertari nak ambik".
Saat tu lah, aku nekad nak ambi takaful untuk diri sendiri, aku tak nak susahkan family aku "if anything bad happen to me" walaupun pada waktu tu kewangan aku sangat tidak stabil. Aku ingat lagi pertemuan di Perpustakaan Awam Kuala Terengganu, niat aku just nak sign proposal takaful aku, tetiba dia cerita pulak bab manfaat jadi ejen takaful, khususnya PruBsn. Sejujurnya, tak pernah langsung terlintas dalam hati aku nak join jadi ejen. Tapi bila aku fiirkan balik, "adakah ini peluang Allah bagi kat aku?".
Aku setuju nak join disebabkan kekecewaan aku sebab banyak kali temuduga tak dapat. Pernah sekali, tatkala aku nak menghadiri temudga di SPNT, ada seorang penjawat awam berkata padaku,
" Nak mari temuduga ke"
" Ya saya." (sambil senyum)
" Ada orang dalam dok, kalu tak dok balik lah, saje je mari."
Aku terasa down tiba2.. Aku pon meneruskan langkah kakiku sehingga kuinjak ke tingkat 7. Aku calon last, dalam pukul 10.30 pagi, penemuduga2 berehat sebentar. Tiba2 terjadi lagi satu peristiwa,
" Assalamualaikum Datuk"
"Wa'alaikum mussalam."
"Datuk, ni anak saya, calon temuduga hari"
"OO.. ni anak ke? okey2"
Terus tertunduk kepalaku. Dalam hatiku, mungkin sia2 sahaja aku datang.
Sebenarnya, semenjak peristiwa tu, banyak temuduga aku tak pergi, tapi yang melibatkan s17 dan s27. Last aku pergi, s41 yang aku pernah cerita sebelum ni. Saat panel penemuduga melihat resume aku, mereka hairan kenapa aku tak dapat tempat, walaupun tahap s17. Aku cakap, aku tak pergi sbb peristiwa di atas, " kalau takde kabel, payah nak dapat datuk". Panel penemuduga senyap tak kata apa hingga di alih isu lain..
Tapi, jika Allah takdirkan aku, terlibat dalam bidang ni. AKU kena bersungguh-sungguh, aku kena gunakan PELUANG yang ada. Bak kata pepatah, " opportunity doesn't knock twice".. Aku yakin dengan kesungguhan dan "passion" yg ada dalam diri, ditambah dengan bimbingan senior dan leader yg hebat, Insya-Allah, aku akan berjaya suatu hari nanti.
SO, buat kawan2 yang "silent reader" tu atau yang dah ada kesedaran tentang kesedaran takaful tu, "take your action". Hakikatnya kalian dan aku dulu sama, yang membezakan ialah sikap berani bertindak. Jangan tunggu nasi menjadi bubur. Walaupun bubur masih boleh dimakan, tapi dia tidak sama dengan nasi..hahah..
"Abg, saya tak mampulah, saya baru habis belajar, mane nak cekau duit"
Jom, join saya menjadi sebahagian keluarga kami. Mana tahu, PELUANG ini untuk anda juga. Saya pon masih baru dan saya mencari "team" saya sendiri..
‪#‎usah‬ tunggu lagi, wsp saya 017-9412511
‪#‎kisah‬ benar, bukan reka2...

Friday, January 1, 2016

AKU DAN TINGKATAN ENAM.

Assalamualikum w.b.t.  Anda  semua apa khabar? Maaflah lama tak update blog, aku bukan apa, ape benda yang aku nak cerita banyak tapi malas pulak nak taip panjang-panjang.. hehe.  So, hari ini aku nak story sikit pasal pengalaman aku masuk form 6. Memang mencabar dan penuh dengan onak duri. Dah ready ke nak baca?

 Disebabkan keputusan SPM  2007 aku teruk , dapat 4A, 3B, 4C, 1D. Terukkan!!! Sedih boh, sedih… Hancur luluh hati mak ayah aku, aku, apatah lagi aku, malu. Aku tak dapat matrik, sebab aku main isi je, aku tak nak pom, diploma pulak, aku isi tapi tak dapat . Masuklah aku ke tingkatan 6, dalam surat JPN aku kena daftar di SMK Padang Midin, sebab aku aliran sains. 

Seminggu je aku gi sekolah..hahah.. Aku ambik borang tukar sekolah, aku nak balik ke sekolah lama aku, SMKA Sheikh Abdul malek.  Bulan 5 aku pohon tapi  awal bulan 7 baru dapat..hehe.. 2 bulan aku rilek je kt rumah..hahah…

Return to SHAMS

Hari first daftar form 6 di SHAMS, dengan berpakaian putih, perasaan malu lagi sekali dating menyerang. Takut  nak berhadapan dengan guru2 aku. Masing2 guru macam terkejut dan tengok semacam, dan aku pon dengar diorang bercakap, “ Tak dapat masuk  Universiti la tu, tu yang masuk Tingkatan 6”.  Berair mata, sedih dan panas telinga bila dengar. Namun, aku tetap gagahkan diri untuk jumpa Ustazah  F untuk mendaftar tingkatan 6. Azam aku satu je, aku nak kembalikan semula maruah aku yang telah aku musnahkan tahun 2007..

2 minggu aku masuk di situ, tiba-tiba je petang tu, mak sedara aku dan suami dia datang jumpa aku di asrama, dia bawak surat. Aku dapat tawaran ke UNISZA dalam bidang Syariah.  Kalau korang macam mane? Happy tak? Mestilah gembira kan, tak payah dah pakai baju sekolah macam budak lagikan? \

TIDAK bagi aku, aku ada prinsip dan matlamat yang perlu aku laksanakan.  Mak sedara aku suruh aku sambung UNISZA, yuran, peralatan semua dia nak tolong bayarkan. Dalam kepala aku, duit anatara salah satu sebab aku menolak, maklumlah, baju2 semua dah beli, peralatan sekolah, yuran asrama, cadar asrama, baju batik asrama, buku2 tingkatan dan banyak lagi.. Berapa ribu mak ayah aku habiskan untuk itu sahaja, takkan senang2 je aku nak keluar. Tambah pulak, jiran2 duk kata kat mak aku, tingkatan 6 belajar payah, banyak membaca dan  blab la bla..

Lepas tu, bermula lah  kehidupan aku di SHAMS untuk tahun ke-6..hehe.. Kebetulan selepas 2 minggu aku masuk, tingkatan 6 ada ujian TOV.. eh, aku nak jawab apa, aku tak tahu apa yang dah belajar selama 2 bulan tu.  Redha jelah aku, mujur ada kawan2 yang baik hati, tolong kongsi nota dan bahan2. Faham ke tak faham hentam sajalah..haha.

Pada suatu hari, Cikgu Pengajian Am 1  (PAM 1) masuk kelas, sebelum dia ngajar dia ada bagitau top 3 result TOV tu, hehe.. aku buat “ donno”, memang aku antara yang last kot..  Cikgu sebut, “ Keputusan TOV baru ni, top 3 semua lelaki. Hebat lelaki  tahun ni. Pointer semua 3.84, sama. Pertama Mahmud ( bukan nama sebenar), kedua Amar (bukan nama sebenar) dan ketiga, sapa yang baru masuk bulan 7 tu, Mohd, Mohd taufik rasanya. Mana Mohd Taufik?”Aku tidak menyahut, sebab aku rasa mungkin cikgu salah sebut ni. Lepas berkali-kali disebut, aku angkat  tangan, dan aku menbalas, “ mustahil saya cikgu, saya baru je masuk, cikgu salah tengok kot…” Sambil aku kebingungan..

Cikgu membalas, “ awak lah , cikgu dah tengok tadi”.

Hari tu, aku menjadi bingung seharian, “takkan la aku, cikgu salah tengok ataupon salah kira ni”.

Setelah senarai result keluar, aku berada keudukan ketiga dengan pointer 3.84. Terbeliak biji mata aku. Haha.. Itulah detik permulaan aku untuk bangkit dan membuktikan bahawa aku mampu bangkit kembali.

 
Tidur, tidur dan tidur.


Sebenarnya aku malas cerita bab ni, tapi maklumlah kawan aku ramai dekat alam maya ni, sebelom diorang attack aku dengan perkara ni, baik aku dulu yang ceritakan.. Eh kenapa korang senyum? Hahaha..

Masa tingkatan 6 dulu hobi aku suka tido dalam dalam, tak kiralah subjek mana pon,  kadang lepas masuk kelas tu, kepala terus atas meja. Mengantuknye pagi2 ni, hingga perkataan “tidur”tu dah sinonim dengan diriku dan selalu kene sindir dengan kawan2.

Aku tak tahulah kenapa dari aku tingkatan 4 dan 5 memang aku tidur je memanjang dalam kelas. Sebab tu aku gagal SPM.Antara subjek yang aku banyak tidur, subjek Sejarah. Uiishh, berat giler mata kalu time subjek ni, pernah satu hari tu, pada waktu tengahari, subjek sejarah pulak, cikgu sejarah ada kat depan, dia nampak aku tidur ( walaupon hari2 dia nampak aku tidur..hehe), dia panggil nama aku, terkejut aku, degupan jantung menjadi laju, dia pon tanya satu soalan tentang apa yang telah dia ajar kat depan. Kebetulan, tajuk yang dia ajar tu memang aku dah baca semalam. TERKEJUT cikgu dan kawan2 aku, tidur pon boleh jawab. Aku senyum, cikgu tu siap suruh aku tidur balik.” Heaven”nya rasa waktu tu, aku pom sambung tidur. (jahat dan kejam sungguh aku)

Semenjak dari itu, cikgu2 lain dah tak marah aku tidur, tapi jujur aku kate, aku bukan sengaja nak tidur, tapi tak tahan sangat, kalu dapat tahan mengantuk setengah jam tu kira okeylah..
Ramai kawan2 aku tak tahu, sebenarnya, aku siang je tidur, malam2 aku study. Katakanlah esok, cikgu nak ajar bab Sistem Politik  Thailand, malam tu memang aku dah bace dah.. Bagi aku waktu yang aman dan  ilmu cepat nak masuk  dalam kepala ialah pada waktu tangah2 malam, waktu semua orang tidur. Rasa nyaman dan senang je nak faham.. Kadang pukol 3,4 baru aku tidur, sebab tu lah hari2 aku mengantuk dalam kelas..haha.

# dilarang sama sekali meniru aksi ini #

Bersambung…………………..

Monday, November 16, 2015

Guru Quran Private

Assalamualaikum w.b.t.
Anda sedang mencari guru al-quran untuk mengajar di rumah?
Kategori kelas : 1) Pelajar lelaki (10 - 17 tahun SAHAJA)
                          2) Dewasa
Kawasan : Gong Badak, Batu Rakit, Wakaf Tengah, dan sewaktu dengannya.
Hari : Boleh bincang
Sesiapa yang berminat atau mempunyai sebarang pertanyaan, bolehlah menghubungi saya,
Mohd Taufik Yin
-Ijazah Sarjana Muda (kep) Usuluddin & Falsafah, UKM Bangi.
-2 Tahun Guru Tahsin di MRSMKT & SBPIBR
-Guru Madrasah Darul Taqwa
-Perunding Takaful PruBsn
-WSP : 017-9412511
# Pelajar boleh mengambil masa yang selesa untuk khatam.
# adik2 lepasan SPM tu jangan malu2, jom wsp sy, ilmu akhirat tak rugi belajar..

Sunday, November 15, 2015

Bahana Politik..


Kerana politik, kita rela gadai ukhuwwah. Kalo bagi pandangan tak sehaluan sikit terus kena label. Wah, alamaknya sampai aku tualah Malaysia terus dipimpin parti U***. 

# aku tak pelik pon, Saidatina Aisyah pon terlibat dalam Perang Jamal. Apa lagi kita umat akhir zaman. ke gane?

Thursday, November 12, 2015

USTAZ GARANG

garang tak ? hehe
Rabu, 4 November - Pagi tu, aku ke kelas 2 Fawwaz untuk edar soalan akhir tahun. Dari kejauhan aku ternampak beberapa kelibat murid 1 Fawwaz, kuderaskan langkahan kakiku. Saat mata mereka melihatku, masing lari lintang -pukang masuk kelas, tetiba aku terdengar, " Ustaz Garang mari, lari!!".. Aku terpana seketika...Selama ni aku ingat budak2 ni kata kat Ustaz Fadhli , Ustaz Garang, rupa-rupanya...........

MUSIM EXAM!!

Salam,skrg peperiksaan SPM dan STPM, nasihat buat adik2 diluar sana,buat yang terbaik, kerana doa orang2 tersayang sentiasa bersama anda. Cuma bergantung kepada untuk melunaskannya. Tak cemerlang pon takpe, aslkan JANGAN dikemudian hari anda rasa menyesal tak sudah. Tu jelah nok nasihat, nak bagitau lebih2 pon, saya dulu dok cemerlang mane pom, cuma terkilan tak buat terbaik untuk SPM... hehe.. goodluck semua.

Aku dulu SPM dapat 4A je, malu bhaii.. UPSR 5A, dan PMR 9A, dan semestinya harapan ibu bapa aku dan orang sekeliling setinggi gunung. Namun, disebabkan kealpaan aku, aku gagal. Time dapat result SPM, jelas nampak kecewa di riak muka ibuku. 

Kegagalan tu, aku cover dengan STPM, mak ayah aku tak yakin, katenya STPM lagi payah. Tapi aku buktikan aku boleh.. Hasilnya dapat la 4 Flat, 4A IB tp kecewa jgak sebab tak dpt no 1 peringkat negeri, dapat no 3 je..hehe.. takpelah....

Harapan aku nak ambik law kt UIAM, tapi mak ayah tak bagi. Aku isi pilihan pertama Usuluddin & Falsafah di UKM, dapat..  Waktu dekat UKM aku bimbang sangat sebab aku tak nak ambik ptpitipu, eh salah, PTPTN. Alhamdulillah, aku dapat biasiswa JPA. Since aku dah grad tahun 2013, aku masih istiqamah ngajar di Madrasah Darul Taqwa, Batu 6 sementara tunggu kerja tetap.

Sekarang, mengorak selangkah lagi dgn join, family Takaful PruBsn. Aku mintak maaflah, mungkin blog ni lepas ni bakal dihiasi dengan maklumat dan info pasal takaful. heheh...Len kali aku share pasal Takaful PruBsn, kalu korang malas nak tunggu aku update blog ni, korang search je kat GOOGLE.. heheh.. wslm.

Sunday, October 4, 2015

Aku Penganggur??

Assalamualikum.
 Hari ini aku nak cerita sikit pengalaman hidupku selepas 2 tahun graduate dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM Bangi). Walaupun masa "Graduation Day", aku tak hadir pun. Aku orang susah, mak ayah duk kat kampung. Tak sanggup aku nak gi ambik sorang-sorang. hehe.. Takpelah, transkrip aku just mintak tolong kawan aku ambilkan.

Apa yang aku buat lepas sebulan aku di rumah, aku membuka gerai kecil-kecilan menjual ice blended. Bolehlah nak tampung perbelanjaan aku.  Aku terfikir idea ini sebab aku nak beri satu peluang kepada family aku untuk terlibat sama dalam bisness ni. Alhamdulillah, gerai aku sekarang dah 4 kali renovate. Sekurangnya, jika aku tiada, aku dah sediakan sedikit saham aku dekat keluarga aku.

Banyak cabaran yang aku hadapi, dan cemuhan manusia sekeliling , " belajar tinggi, last2 jual ice blended je".

Kadang2 rasa sedih dan down. Tahun 2014, April, aku diberi peluang untuk menggantikan seorang senior aku untuk menggantikan dia menjadi guru tahsin di MRSM Kuala Terengganu. Alhamdulillah, Mei 2014 pula, aku di"offer" pula menggantikan dia juga sebagai guru tahsin di SBPI Batu Rakit. Syukur.  Tapi, orang tak nampak aku bekerja, apa yang diorang nampak aku seorang penganggur lepasan universiti. Sudah macam2 surat dan borang aku isi danbanyak interview aku pergi, namun hampa. Aku tengok orang lain datang interview bawak surat sokongan jkkk, wakil rakyat bahkan sultan pon ade. Setiap kali sampai surat penggilan temuduga, aku hanya mencebikkan mulut. Down.
Apa yang aku tahu, " cabellity is more important than capability".

Sehinggalah, pada Mei 2015 aku diberi peluang untuk mencuba nasib di Madrasah Daruttaqwa Batu Enam. 2 bulan aku disana, diriku meronta-ronta untuk berhenti, sebab aku rasa aku tak mampu nak kawal budak2. Awal bulan Julai, aku berjumpa Mudir untuk berhenti sebab aku dah tak tahan dan tak mampu nak pikul tanggungjawab. Namun, siapa sangka, Allah menghendaki jalan hidupku lain, aku tidak jadi berhenti sebab mudir pandai memberi nasihat dan kata2 telah menyentak diriku.

 Di sana, aku diamanahkan untuk mengajar subjek Bahasa Inggeris tahun satu dan tiga.  Sekarang dah bulan Oktober 2015 aku masih di Madrasah Daruttaqwa,  dan aku dah rasa sayang nak tinggal madrasah ni. Tapikan orang2 sekeliling still tak nampak aku sedang bekerja, mereka masih mencemuh, " belajar tinggi2 tak dok kerja dok guna jugak, baik orang hok belajor diploma, spm pulok senang buleh kije".

Aku menjadi emosional, " at least aku tak dok hutang PTPTN , ribu-ribu macam anok mung!!"

Aku tahu Allah akan beri rezeki yang terbaik buatku akan datang. Kita sangka kita sedang mengatur hidup kita, padahal kita sedang di aturkan Tuhan.

# sekarang aku masih menjadi guru tahsin di MRSM KT, SBPI Batu Rakit, Guru English di Mdrasah Daruttaqwa, berniaga ice blended aku dan terbaru aku buat part time sebagai ejen takaful Prudential.
#lain kali aku tulis pasal Taaful PruBsn pulak.. Salam..

Saturday, May 23, 2015

FALSAFAH AKHLAK SOCRATES DAN MISKAWAYH.

1.      PENDAHULUAN
 
Falsafah sering dianggap sebagai satu disiplin ilmu yang sukar difahami dan tidak releven dengan keperluan hidup seharian. Manakala tokoh-tokoh ahli falsafah pula dipersepsikan sebagai golongan ahli fikir yang tidak berpijak dibumi yang nyata. Mereka didakwa berfikir tentang perkara yang abstrak dan hanya mengungkap idea-idea klasik yang diteorikan oleh tokoh-tokoh pemikir ulung seperti Socrates, Plato, Aristotle, Ibnu Sina, Ibnu Rushd, Ibnu Miskawayh dan laian-lain.
   Falsafah akhlak merujuk kepada disiplin ilmu yang mengkaji serta mempersoalkan berbagai-bagai isu baik dan buruk tentang adat, tabiat, susila,cara berfikir, sikap, agama dan semua faktor yang mempengaruhi tingkah laku manusia seperti nafsu, akal, kebebasan, tanggungjawab dan sebagainya. Dalam tradisi Barat, pengajian ilmu akhlak sudah lama wujud dan berkembang beberapa abad sebelum kelahiran Islam. Ia  dikenali sebagai ilmu ‘etika’ dan ‘moral’.
    Di dunia Barat, falsafah etika telah wujud  dan berkembang  dalam kalangan bangsa Greek beratus abad sebelum kelahiran agama Kristian. Antara tokoh falsafah Greek yang terkenal ialah Socrates yang juga dianggap sebagai pengasas ilmu akhlak. Falsafah akhlak ini berkembang hinggalah zaman kehebatan ahli falsafah akhlak Islam iaitu Ibnu Miskawayh. Oleh itu, dalam tugasan pada kali ini, kita kan melihat sebarang persamaan dan perbezaan falsafah akhlak antara dua tokoh falsafah yang terkenal.


2.      DEFINISI AKHLAK

         Akhlak dari segi bahasa didefinisikan sebagai moral, tabiat, perangai, budi, adab, sifat semulajadi, maruah, watak, amalan agama atau rupa batin seseorang. Secara etimologi akhlak berasal daripada kata al-akhlaqu iaitu kata jama’ daripada perkataan al-khuluq yang bererti tabiat, kelakuan, perangai, tingkahlaku, maruah, adat kebiasaan, malah ia juga beretri agama itu sendiri. (Asmawati Suhid 2009:15) Perkataan al-khulq ini di dalama-Qur’an hanya terdapat pada dua tempat sahaja, antaranya dalam surah al-Qalam ayat 4 iaitu :

Maksud-Nya : Dan Sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung

          Sementara perkataan al-khalqu bererti kejadian, ciptaan, dan juga bermaksud kejadian yang indah dan baik apabila dirujuk kepada kejadian manusia, ia membawa maksud struktur tubuh badannya yang indah dan seimbang. Jika dirujuk kepada kejadian alam semesta, ia juga membawa erti kejadian atau ciptaan yang indah, tersusun rapi, menurut undang-undang yang tepat. Hal ini sebagaimana firman Allah s.w.t dalam surah ali-‘Imran ayat 190 iaitu :

Maksud-Nya : Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal.

           Dalam Qamus al-Munjid, Lisan al-`Arab dan Mu`jam al-Falsafi akhlak diberikan pengertian sebagai suatu sifat semulajadi, tabiat, agama atau ringkasnya gambaran batin seseorang. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga akhlak memberi maksud budi pekerti, kelakuan, tingkah laku manusia dan tabiat samada baik atau jahat. (Asmawati Suhid 2009:15)

           Dari segi istilah, akhlak membawa pengertian suatu ilmu yang menjelaskan erti baik dan buruk, menerangkan apa yang seharusnya dilakukan oleh setengah manusia kepada yang lainnya, menyatakan tujuan yang harus dituju oleh manusia dalam perbuatan mereka dan menunjukkan jalan untuk melakukan apa yang harus diperbuat. (Asmawati Suhid 2009:16)
Menurut Ibnu Miskawaih pula, akhlak adalah keadaan jiwa yang menggerakkan manusia melakukan perbuatan tanpa pertimbangan fikiran. Ia terbahagi kepada dua bahagian iaitu, pertama, secara natural atau tabii seperti perasaan marah. Kedua, melalui latihan dan kebiasaan yang melalui peringkat pertimbangan dan pemikiran yang teliti serta peringkat mempraktikkan sesuatu kebaikan sehingga menjadi kebiasaan dalam amalan hidup. (Mardzelah Makhsin 2006:26)

2.1.Persamaan dan Perbezaan Akhlak, Etika dan Moral

Ø  ETIKA
        Etika bermaksud ukuran dan piawaian yang digunakan bagi membezakan kelakuan individu sama ada baik atau buruk, menyenangkan ataupun tidak menyenangkan. Perkataan etika berasala daripada perkataan Greek iaitu ethos yang membawa maksud perangai, cara hidup, ataupun adat resam. Etika merupakan ilmu pengetahuan yang berhubungan dengan upaya menentukan perbuatan yang di lakukan manusia untuk dikatakan baik atau buruk, dengan kata lain aturan atau pola tingkah laku yang di hasilkan oleh akal manusia.(Mardzelah Makhsin 2006:24) Dengan adanya etika pergaulan dalam masyarakat akan terlihat baik dan buruknya. Etika bersifat relatif yakni dapat berubah-ubah sesuai dengan tuntutan zaman.
Ø  MORAL
       Moral dapat ditakrifkan sebagai tingkah laku atupun amalan yang sejajar dengan tatasusila dan undang-undang masyarakat.amalan ataupun tindakan yang dikatakan bermoral pula boleh dilihat dari segi tindak balas atau reaksi individu yang membabitkan hawa nafsu, peraturan masyarakat dan tindakan yang rasional.(Mardzelah Makhsin 2006:25) Jadi, apa perbezaan antara etika dan moral?
            Ringkasnya, moral dalam bahasa Latin dan etika dalam bahasa Greek mempunyai konotasi makna yang hampir sama. Kedua-dua istilah ini berkaitan dengan kegiatan praktikal yang berhubung dengan tingkah laku, adat, gaya hidup, cara berfikir serta aspek niat, kebebasan dan ecenderungan seseorang dalam melakukan aktiviti. Perbezaan anatara moral dan etika adalah, moral adalah adalah satu disiplin ilmu yang dapat mendedahkan kepada kita apakah bentuk sistem moral yang digunapakai oleh sesuatu kelompok manusia seperti moral orang Melayu, Cina, Inggeris, Arab, India dans lain-lain bangsa.(Nasir Omar 2010:22)
Ø  AKHLAK
              Dalam Islam, etika dan moral , sekalipun berbeza dari sudut konsep, matlamat dan sumber, dipanggil ‘akhlak’. Akhlak adalah istilah yang diperkenalkan oleh orang Islam bersumberkan al-Qur’an dan al-Sunnah. Akhlak adalah tabiat semulajadi yang dimiliki oleh seseorang secara fitrah seperti perasaan cepat marah, cepat ketawa, mudah tersinggung dan sebagainya. (Nasir Omar 2010:24)
              Menurut tokoh moralis Islam terkenal pula iaitu Ibnu Miskawaih, akhlak merujuk kepada sesuatu situasi yang terbentuk dalam diri seseorang manusia dan ia berfungsi sebagai kuasa eksekutif yang mengarah orang tersebut melakukan semua perbuatannya. (Nasir Omar 2010:24)
              Bagi Imam al-Ghazali pula, secara dasarnya beliau bersetuju dengan takrif Ibnu Miskawaih tetapi beliau membuat sedikit modifikasi . Menurutnya, akhlak bukan ilmu atau makrifat tentang kebaian dan keburukan kerana ilmu tidak menjamin seseorang menjadi baik atau buruk. Al-Ghazali menetapkan dua syarat yang dinamakan sebagai akhlak iaitu, pertama, mestilah wujud suatu kestabilan dalam melakukan sesuatu perbuatan. Manakala, syarat kedua ialah sesuatu perbuatan mestilah direalisasikan dengan senang dan spontan.(Nasir Omar 2005:14)


3.      FALSAFAH  AKHLAK SOCRATES DAN MISKAWAYH

Socrates dan Ibnu Miskawayh adalah 2 orang tokoh ahli falsafah yang membicarakan berkenaan falsafah akhlak dan etika. Sebelum melihat dengan lebih jauh lagi idea-idea  berkenaan akhlak, eloklah kiranya kita melihat sedikit sebanyak biodata dan latar belakang mereka.
Ø  Socrates

            Socrates adalah seorang tokoh penting yang pasti memulakan asas bagaimana manusia menilai dunia di sekitar mereka. Idea-idea Socrates berbentuk falsafah pendidikan dan berfikir logik.
            Socrates adalah seorang ahli falsafah dari Yunani, dan dia hidup antara tahun 469 dan 399 SM di Athens. Beliau adalah seorang pemikir ulung yang mewarisi pekerjaan bapanya sebagai seorang pengukir. Socrates bolehlah dianggap sebagai bapa ataupun pengasas kepada ilmu akhlak. Beliau sendiri dikatakan sebagai seorang yang berhati mulia, rajin, bijaksana, berani, sederhana dan adil.(Nasir Omar 2010:60)
            Socrates terkenal atas kematiannya kerana dia dipaksa oleh mahkamah untuk meminum hemlock, sejenis racun yang kuat. Beliau dihukum bunuh kerana dianggap membawa unsur yang tidak baik kepada masyarakat. Beliau menggalakkan ahli masyarakat menyoal dan bertanya tentang segalanya termasuk ketuhanan.Walaupun diberi peluang oleh kawannya Krato untuk melarikan diri dari penjara, Soctares menolaknya. Socrates percaya kematian memberi peluang untuk beliau berjumpa tokoh-tokoh ilmuan penting yang sudah mati dan mereka boleh berbincang, berhujah dan berdebat di sana nanti.( Sara Ahbel & Rachana Kamtekar 2009:36)
            Salah satu fakta yang paling penting tentang Socrates adalah bahawa ia membantu mengembangkan banyak idea-idea tentang logik dan nilai moral: apa yang benar dan bagaimana untuk membantu seseorang mengatasi masalah mereka dalam kehidupan sehari-hari.
Ø  Ibnu Miskawayh
Ibnu Miskawayh adalah seorang tokoh Muslim yang memusatkan perhatiannya pada etika Islam. Nama Lengkapnya adalah Ahmad Ibn Muhammad Ibn Ya’qub Ibn Miskawaih. Beliau lahir pada tahun 320 H/932 M di Rayy (Teheran, ibu kota Republik Islam Iran sekarang) dan meninggal di Isfahan pada tanggal 9 Safar tahun 412 H/16 Februari 1030 M, Ibnu Miskawaih hidup pada zaman pemerintahan dinasti Buwaihiyyah (320-450 H/932-1062 M) yang  bermazhab Syi’ah.(A.Mustofa  2004: 16)
      Merujuk tahun lahir dan wafat beliau, Ibnu Miskawaih hidup pada zaman pemerintahan Khalifah Abbasiah yang berada di bawah pengaruh puak Buwaihi beraliran Syiah dan berasal daripada keturunan Parsi Bani Buwaihi. Ibnu Miskawaih adalah antara tokoh falsafah Islam yang memusatkan perhatiannya pada etika Islam. Meskipun sebenarnya beliau seorang ahli sejarah, tabib, ilmuwan, ahli pendidikan dan sasterawan. Pengetahuannya mengenai kebudayaan Rom, Parsi, India, dan Greek sangat luas. Di samping itu, ada hal yang tidak menyenangkan hati Ibnu Miskawaih iaitu kemerosotan moral yang melanda masyarakat.(A.Mustofa 2004:16) Oleh kerana itulah Ibnu Miskawaih tertarik untuk menitikberatkan perhatiannya pada bidang etika Islam.

                  Seterusnya kita akan cuba melihat idea-idea dan pemikiran kedua-dua tokoh tersebut secara persamaan dan perbezaan mengikut titik-titik perbincangan mereka berkenaan akhlak dan etika. Saya membahagikan perkara tersebut kepada empat,iaitu:

1.      Konsep akhlak dan dasar etika
2.      Metodologi yang digunakan
3.      Konsep kebahagiaan


3.1.   Konsep Akhlak Dan Dasar Etika


         Pandangan Socrates mengenai akhlak terkesan sebagai anti-tesis terhadap pandangan kaum sofis, kerana tujuan terpenting Socrates adalah merobohkan pendapat yang dikemukan oleh kaum sofis. Kerana itu Socrates mengumandangkan bahawa asas akhlak adalah penyatuan keutamaan dan pengetahuan. Maka yang pertama sekali ada pada seseorang adalah ilmu, setelah itu barulah akhlak. Ertinya, keutamaan itu terhasil di atas ilmu, sedangkan kehinaan dibangun di atas ketidaktahuan (kejahilan). (Ali Abdul Halim Mahmud 1996: 100)
     
      Bagi Socrates, ‘kebaikan adalah ilmu’ (virtue is knowledge). Ilmu bermakna pengetahuan tentang konsep sesuatu dalam bentuknya yang objektif, bebas daripada penilaian individu. Socrates bahawa ramai orang bercakap tentang ‘kebaikan, keburukan, keadilan, kebahagiaan, kesederhanaan, dan lain-lain tetapi tidak arif tentang makna sebenar perkataan yang tersebut.  Oleh itu, tugas pertama ilmu , tambah Socrates adalah untuk memahami dengan tepat takrif, makna, definisi perkataan tersebut. Sebab itulah, seseorang tidak akan melakukan kebaikan, melainkan terlebih dahulu memahami apakah makna sebenar sesuatu kebaikan. (Nasir Omar 2010: 61)

          Kesinambungan daripada itu, Socrates menambah bahawa, seseorang yang berilmu tidak akan melakukan kesalahan. Semua kesalahan yang berlaku berpunca daripada kejahilan atau kepincangan intelek mereka. Justeru, tidak ada seorang pun,  dengan secara sukarela melakukan kesalahan. Orang yang melakukan kesalahan adalah kerana mereka jahil atau mempercayai bahawa keburukan itu sebagai kebaikan. Golongan yang melakukan keburukan tetapi mengetahui tentang keburukan tersebut adalah lebih baik daripada golongan yang melakukankan kesalahan tetapi jahil terhadap kesalahn tersebut. (Nasir Omar 2010: 61)

          Namun demikian, pandangan Socrates dilihat seperti tidak ampuh dengan mengatakan bahawa hanya pengetahuan semata-mata yang membuatkan seseorang melaksanakan sesuatu tanpa melibatkan faktor lain. Dalam realiti kehidupan sebenar , banyak sekali bukti bahawa jenayah dalam kalangan yang dianggap berilmu berlaku, menunjukkan ilmu bukanlah satu-satunya faktor yang boleh menjamin manusia menjadi baik.

Berbeza pula dengan konsep dan pemahaman Ibnu Miskawayh berkenaan falsafah akhlak. Bagi Miskawayh,  kata akhlak adalah bentuk jamak (plural) dari kata khuluq. Miskawayh memberikan pengertian khuluq sebagai berikut: ( A. Mustofa  2004: 34)
Khuluq adalah peri-keadaan jiwa yang mendorongnya untuk melakukan perbuatan-perbuatan tanpa dipikirkan dan diperhitungkan sebelumnya. Dengan kata lain, khuluq adalah peri-keadaan jiwa yang mendorong timbulnya perbuatan-perbuatan secara spontan. Peri-keadaan jiwa itu dapat merupakan fitrah sejak kecil dan dapat pula merupakan hasil latihan membiasakan diri.
Berkenaan dengan pengertian khuluq yang dikemukakan oleh Miskawayh tersebut, dapat kita peroleh kesimpulan bahwa peri-keadaan jiwa yang mendorong manusia untuk melakukan perbuatan-perbuatan secara spontan itu dapat selamanya merupakan pembawaan fitrah sejak lahir, tetapi juga dapat diperoleh melalui jalan latihan membiasakan diri, hingga menjadi sifat kejiwaan yang dapat melahirkan perbuatan baik. Dengan kata lain, manusia dapat berusaha merubah watak kejiwaan pembawaan fitrahnya yang tidak baik menjadi baik.
Mengikut Miskawayh, akhlak bukanlah perbuatan yang dilakukan seseorang, tetapi ia merujuk kepada dimensi dalaman yang menyebabkan sesuatu perbuatan itu terjadi. Akhlak ibarat kilang, manakala  perbuatan pula produk yang dihasilkan oleh kilang tersebut. jika perbuatan yang dihasilkan itu baik, iaitu perbuatan yang menepati dengan tuntutan syariat dan akal yang rasional, maka ini menunjukkaj bahawa seseorang mempunyai akhlak ataupun dimensi dalaman yang baik. Dan begitulah sebaliknya, jika perbuatan yang dilakukan itu buruk, maka sudah tentu ia memanisfestasikan seseorang memiliki akhlak yang buruk.(Nasir Omar  2010:112)

3.2. Metodologi Pendidikan Akhlak
           Socrates mulanya memberikan beberapa perkara penting berkaitan pendekatan yang perlu diambil. Untuk memulakannya kata Socrates, kita hendaklah jangan membiarkan keputusan kita ditentukan oleh emosi kita. Kita mestilah memeriksa persoalan dan mengikut hujah yang terbaik. Kita mesti cuba mendapatkan fakta yang benar dan memastikan minda kita jelas. Hal ini dapat diselesaikan dengan menggunakan akal. Keduanya, kita tidak boleh menjawab persoalan tersebut berdasarkan apa yang biasa difikirkan oleh orang ramai. Mereka mungkin tersilap. Kita mesti cuba berfikir sendiri. (Frankena  1990: 9)
           Akhirnya, kita sepatutnya tidak melakukan apa yang secara moralnya adalah salah. Persoalan yang kita perlu jawab ialah adakah sesuatu perbuatan itu baik atau salah, bukannya apa yang akan berlaku kepada kita, apa yang orang akan kata kepada kita, atau bagaimana kita rasa tentang apa yang telah berlaku.
           Socrates cuba untuk memberikan tiga rangkap penghujahan bagi menunjukkan bahawa beliau seharusnya tidak melanggar undang-undang dengan melarikan diri dari hukuman yang telah dikenakan ke atasnya. Pertamanya ialah kita tidak boleh menyinggung sesiapa. Jika Socrates melarikan diri, maka ini akan menyinggung (menghina) negara kerana beliau melanggar undang-undang negara. Keduanya ialah apabila sesorang tinggal di sesebuah negara, maka dia mestilah bersedia untuk mematuhi undang-undang negara itu. Jika Socrates melarikan diri, maka beliau telah melanggar perjanjian sebagai rakyat negara Greek tersebut. Ketiganya ialah masyarakat dan negara itu umpama ibu bapa dan guru yang perlu dipatuhi. (Frankena  1990: 9)
Daripada ketiga-tiga penghujahan ini, maka Socrates membuat kesimpulan bahawa:
1. Kita tidak boleh menyinggung sesiapa.
2. Kita mesti menepati perjanjian.
3. Kita mesti menghormati ibu bapa dan guru.

           Bentuk penghujahan moral ini menentukan apa yang patut dilakukan oleh seseorang dalam keadaan tertentu dengan merujuk kepada prinsip-prinsip umum atau undang-undang tertentu yang diambil sebagai premis untuk dideduksikan kepada suatu kesimpulan melalui kaedah qiyas.
           Socrates telah bangun menentang dan mengkritik fahaman Sofis dengan berasaskan prinsip kebenaran ilmu pengetahuan. Beliau cuba mengharmonikan antara akal (reason) dan perasaan dan emosi manusia. Socrates tidak menafikan kepentingan budi atau kebajikan (virtue), tetapi beliau memberika tafsiran yang lebih luas terhadapnya iaitu sebagai kemampuan untuk mencapai kepakaran dalam pembangunan intelektual
   Berbanding Ibnu Miskawayh, beliau pula telah mengemukakan satu etika tentang contoh hidup yang tinggi dan murni sebagai hamba Allah. Etika hidup tersebut boleh diringkaskan seperti berikut:
i. Pegangan agama yang mantap
Ibnu Miskawayh berpendapat bahawa matlamat utama setiap agama adalah untuk melahirkan akhlak mulia. Ini tidak akan terhasil melainkan apabila setiap individu percaya bahawa agama adalah sesuatu yang perlu untuk jiwa. Menurut beliau individu juga seharusnya mendapat sesuatu ganjaran di dunia mengikut taraf dan kedudukannya. Dia tidak berhak meminta sesuatu yang bukan haknya, tidak boleh mengurangkan apa yang telah diberi kepadanya, sentiasa berpandu kepada ajaran agama serta berakhlak dengan akhlak mulia. (Siti Norlina dan Mohd Nasir  2004, Seminar Antarabangsa)
ii. Usaha dari individu
Menurut Ibnu Miskawayh, akhlak merupakan faktor utama yang menjamin kesejahteraan masyarakat. Akhlak amat penting dalam diri seseorang bagi memperbaiki dirinya dan masyarakat. Beliau berpendapat bahawa akhlak yang baik dapat dihasilkan melalui usaha setiap individu di samping latihan dan didikan tertentu.
Ibnu Miskawayh juga telah meletakkan satu garis panduan dalam menghayati konsep tolong-menolong iaitu: kalau seseorang itu banyak melakukan pertolongan, dia berhak mendapat banyak bantuan. Sekiranya dia melakukan sedikit pertolongan, maka sedikitlah bantuan yang akan diperolehinya.
iii. Mengetahui hakikat jiwa
Setiap individu juga harus tahu hakikat jiwa manusia, apa itu jiwa, dari apakah ia dijadikan dan kenapa ia dijadikan pada diri manusia. Beliau berpendapat bahawa jiwa bukan satu bentuk jisim yang boleh dilihat dan bukan satu barang yang bernilai atau satu bahagian daripada perkara tersebut. Ini kerana kedua-dua perkara tersebut tidak boleh menerima perubahan sedangkan jiwa menerima perubahan. Jiwa yang ditakrifkan oleh Ibnu Miskawayh ialah satu perkara yang dapat dirasai berdasarkan ilmu pengetahuan yang berbagai. (Siti Norlina dan Mohd Nasir  2004, Seminar Antarabangsa)
iv. Menjalani hidup bermasyarakat
Beliau juga berpendapat seseorang individu tidak dapat mempraktikkan moral yang baik secara menyeluruh sekiranya beliau tinggal keseorangan. Ini kerana kehidupan bermasyarakat menuntut sikap tolong menolong, berlemah lembut dan berkasih sayang sesama manusia.
Ibnu Miskawayh menentang kehidupan bertapa kerana ia tidak membawa kepada kehidupan berakhlak. Seseorang itu tidak seharusnya memencil diri dari masyarakat kerana kehidupan bermasyarakat akan memberi banyak manfaat kepadanya dalam mengenali kebaikan dan keburukan.
Orang yang hidup secara zuhud dan mengenepikan pekerjaan atau usaha, dianggap oleh Ibnu Miskawayh sebagai mengamalkan perbuatan jahat kerana ia mengenepikan keperluan orang lain terhadap dirinya. Orang yang mengharapkan pertolongan orang lain sedangkan dia sendiri tidak menolong orang, adalah orang zalim dan musuh kepada masyarakat. Sekiranya dia merasakan keperluan hidupnya hanyalah sedikit sahaja, maka dia harus sedar bahawa manusia lain memerlukan banyak kepentingan daripada dirinya.  (Siti Norlina dan Mohd Nasir  2004, Seminar Antarabangsa)

v. Bersahabat dengan orang yang baik
Menurut Ibnu Miskawayh, realitinya manusia yang berperibadi baik secara semulajadi, jumlahnya adalah sedikit, manakala yang kurang baik secara tabie jumlahnya ramai. Di antara kedua golongan ini ada juga yang bersikap sederhana. Golongan ini akan berubah melalui cara bersahabat dengan orang-orang baik yang menasihati mereka ke arah kebaikan atau bersahabat dengan orang-orang jahat yang mengajak mereka melakukan kejahatan. (Siti Norlina dan Mohd Nasir  2004, Seminar Antarabangsa)
Ikatan persahabatan bagi Ibnu Miskawayh adalah satu perkara yang suci dan bermanfaat bagi manusia. Orang yang baik adalah sahabat bagi dirinya sendiri dan juga untuk orang lain. Dia tidak akan mempunyai musuh kecuali orang yang jahat. Orang yang bahagia adalah orang yang mempunyai sahabat dan berusaha agar dirinya bermanfaat bagi sahabatnya. Manusia juga harus bekerja dengan baik untuk membahagiakan orang lain dan selalu berbuat baik tanpa bersifat munafik atau bermuka-muka. (Siti Norlina dan Mohd Nasir  2004, Seminar Antarabangsa)
vi. Mengambil berat terhadap rawatan rohani
Berhubung dengan rawatan rohani Ibnu Miskawayh membahagikan kepada dua cara iaitu:
i) Mengutamakan kesihatan rohani ketika ia masih ada pada diri seseorang:
ii) Mengembalikan semula rohani yang sihat, apabila ia hilang dalam diri seseorang.
Apabila seseorang itu mempunyai jiwa yang sihat, maka dia haruslah sentiasa menambahkan lagi kemuliaan jiwa yang ada padanya dengan cara mendalami ilmu hakiki dan pengetahuan yang benar. Ia dapat diperolehi apabila seseorang itu mendampingi orang-orang berilmu dan mempelajari darinya di samping sentiasa berwaspada daripada bergaul dengan orang jahat, orang gila, orang yang selalu melakukan maksiat, orang yang berbangga dengan kejahatannya dan jangan menghadiri  majlis-majlis anjuran mereka.(Siti Norlina dan Mohd Nasir 2004, Seminar Antarabangsa)
Ini disebabkan apabila seseorang itu menghadiri majlis-majlis mereka dan mendengar cerita-cerita tentang kekotoran jiwa dan kelakuan tidak bermoral mereka, maka untuk membersihkan semula perkara-perkara itu daripada dalam jiwanya adalah amat sukar. Di samping itu situasi ini juga mungkin akan merosakkan peribadi orang yang baik dan mulia pula.

3.3.  Konsep Kebahagiaan ( sa’adah)

Menurut Socrates, jiwa merupakan intipati bagi manusia. Oleh yang demkian, manusia wajib mengutamakan kebahagiaan jiwanya (eudaimonia) lebih daripada kebahagiaan jasad atau tubuh badannya dan juga kebahagiaan material yang lain seperti kekayaan dan sebagainya. Ini kerana kehidupan tanpa kebahagiaan tidak ada ertinya. Yang menjadi persoalan ialah bagaimana caranya untuk mencapai kebahagiaan.(Harun Hadiwijono 1980:36)
       Socrates berpendapat bahawa alat untuk mencapai kebahagiaan ialah kebaikan (virtue) dan keutamaan (arĂȘte). Bagi Socrates, keutamaan itu adalah ilmu pengetahuan. Kehidupan yang baik ialah mempraktikkan ilmu pengetahuan tentang kehidupan yang baik. Baik dan jahat itu, kata Socrates disandarkan kepada ilmu pengetahuan, bukannya dengan kemahuan manusia. Berdasarkan asas ini, tidak mungkin sesorang itu dengan sengaja melakukan suatu kesalahan. Seseorang itu melakukan kesalahan kerana dia keliru dan tidak mempunyai ilmu pengetahuan. (Harun Hadiwijono 1980: 37)
Oleh yang demikian, kebaikan dan keutamaan adalah pengetahuan tentang perkara atau perbuatan yang baik. Memiliki suatu kebaikan bermakna memiliki keseluruhan kebaikan. Orang yang berani, sudah tentu ia juga adil dan jujur. Jika tidak, maka dia tidak memiliki kebaikan yang sejati. Memiliki kebaikan bermakna memiliki kesempurnaan sebagai manusia. (Harun Hadiwijono 1980: 37)
Miskawayh pula, membezakan antara al-Khair (kebaikan) dengan al-Sa’adah (kebahagiaan). Kebaikan menjadi tujuan semua orang, kebaikan umum bagi seluruh manusia dalam kedudukan sebagai manusia. Sedangkan kebahagiaan adalah kebaikan bagi seseorang, tidak bersifat umum, tetapi relatif bergantung kepada orang perorangan. Dengan demikian, kebaikan mempunyai identitas tertentu, sedangkan kebahagiaan berbeza-beza bergantung kepada orang-orang yang berusaha memperolehnya.
Menurut Miskawayh, kebahagiaan tertinggi itu tidak lain adalah kebijaksanaan yang menghimpun dua aspek,iaitu aspek teori yang bersumber pada keadaan penggunaan akal yang membentuk tindak-tanduk seseorang dan aspek praktikal yang merupakan keutamaan jiwa yang mampu melahirkan perbuatan yang baik. Para Nabi diutus oleh Allah tiada lain hanyalah untuk menyampaikan ajaran syari’at yang memerintahkan untuk memperoleh keutamaan dan menjauhi keburukan-keburukan.(A. Mustofa  2004: 17)
Orang yang mencapai kebahagiaan tertinggi jiwanya akan tenang, mereka akan selalu berdampingan dengan malaikat. Jiwanya diterangi oleh rahmat Ilahi dan merasakan nikmat atas kelazatan yang tertinggi. Baginya tidak menjadi masalah apakah dunia datang kepadanya atau meninggalkannya, apakah dunia kotor atau bersih. Dalam usaha mencapai kebahagiaan, manusia selalu menemukan pedoman syari’at yang memberikan petunjuk dan meluruskan jalan mencapai kebijaksanaan untuk mengatur kehidupan sehingga akhir hayatnya. (A. Mustofa  2004: 18)

                                                              
4.      KESIMPULAN

Secara kesimpulannya, kesilapan Socrates dalam membataskan secara total bahawa ilmu sebagai egen yang dapat mengawal keseluruhan perlakuan manusia mungkin juga disebabkan beliau  berteori berdasarkan pengalaman sendiri. Socrates sendiri  memang didapati sebagai seorang yang beretika  dan tindakannya tanpa dipengaruhi oleh emosi dan nafsu, tetapi oleh akal yang rasional. Kesanggupan beliau untuk menghadapi hukuman mati kerana mempertahankan sesuatu yang beliau anggap benar dan betul, membuktikan hakikat ini. Pengajaran dan pemikiran akhlak Socrates kemudiannya dikembangkan oleh beberapa sekolah dalam falsafah Greek.
Berbeza dengan pendapat Ibnu Miskawayh bahawa akhlak adalah suatu benda yang tidak static dan ia boleh menerima perubahan sama ada kearah kebaikan ataupun kearah keburukan melalui latihan, nasihat, disiplin, undang-undang bukan hanya ilmu semata-mata seperti idea yang dinyatakan oleh Socrates. Sekalipun manusia dicipta dalam bentuk fitrah, suci dan neutral, tetapi mereka berpotensi untuk berubah menjadi baik ataupun buruk berdasarkan faktor yang boleh mempengaruhiakhlak mereka.
                   Akhir sekali, diharapkan hasil tugasan dan kajian ini dapat menepati kehendak dan memenuhi kriteria yang sepatutnya. Semoga sedikit sebanyak dapat menambahkan ilmu dan idea kepada kita sebagai generasi akan datang dalam memahami idea-idea tokoh falsafah berkaitan falsafah akhlak supaya boleh dibuat penilaian sama ada sumbernya dari Barat atau Timur.