Saturday, March 5, 2011

KENALI PERJUANGAN DAN PEMIKIRAN SYED QUTB


1.      PENDAHULUAN

  Sayyid Qutb ialah satu nama besar dalam sejarah pemikiran gerakan Islam pada abad ke 20. Sejak kematiannya pada tahun 1966, karya-karyanya telah disebarkan dan menjadi inspirasi kepada pendokong-pendokong gerakan kebangkitan Islam di seluruh dunia. Ianya telah menawan pemikiran dan komitmen generasi muda Islam untuk bekerja untuk Islam.Sayyid Qutb adalah seorang tokoh yang begitu dekat dengan mereka yang terjun ke medan dakwah.

   Beberapa tulisannya menjadi sumber dan acuan para generasi Islam untuk terus memancarkan kalimat tauhid. Karangan beliau seperti tafsir Fi Dzhilal al Quran, umumnya telah menjadi teman akrab para pendakwah untuk menyalakan suluh dakwah Islam di perbagai tempat. Namun, tidak banyak yang mengenali kehidupan beliau secara mendalam. Tidak banyak informasi yang diketengahkan kepada para pembaca tentang latar belakang keluarganya yang sudah barang tentu memberikan kesan yang besar pada pembentukan peribadi Sayyid Qutb.
                Dalam tugasan ini, kita akan lihat secara jelas tentang peribadi dan sejarah hidup beliau. Secara terperinci kita dapat mengkaji tentang pengaruh dan pemikiran Sayyid Qutb yang  merupakan seorang tokoh Ikhwan al-Muslim yang terkenal dan diangga p sebagai pelopor konsep al-Hakimiyyah. Bahkan juga dapatlah kita mengenalpasti mengapakah beliau ditentang oleh pemerintah Mesir pada zamannya supaya dapat dijadikan pedoman.

  Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat dan bekerjasama dengan saya dalam proses menyiapkan tugasan ini terutamanya Ustazah Farhana yang banyak memberi nasihat dan bimbingan. Semoga tugasan yang telah saya siapkan ini mampu memenuhi kehendak kriteria pemarkahan yang sebenar.



2.      LATAR BELAKANG/BIOGRAFI

2.1.   Latar Belakang Diri Dan Keluarga

Nama penuh Sayyid Qutb ialah Sayyid Qutb Ibrahim Husin Shazali. Beliau berasal dari sebuah desa di Hulu Mesir. Sayyid Qutb dilahirkan pada 9 Oktober 1906 di Kampung Musyah, daerah Asyut, Mesir  dalam satu keluarga yang kuat mematuhi ajaran agama dan mempunyai kedudukan yang terhormat di kampung itu. Bapanya Haji Qutb Ibrahim berasal dari keluarga yang berada dan sangat disegani umum dan banyak berbakti kepada orang-orang miskin. Setiap tahun beliau menghidupkan hari-hari kebesaran Islam dengan mengadakan majlis-majlis jamuan dan tilawah al-Quran di rumahnya terutama di bulan Ramadhan. Bapanya merupakan seorang yang bersikap mulia dan sentiasa berbelanja untuk anak-anak dan keluarga. Beliau seorang yang kuat agama  dan sangat mementingkan hari kiamat. Beliau sentiasa menunaikan solat di masjid dan Sayyid Qutb sentiasa dibawa bersamanya.

Setiap kali musim perayaan agama seperti Hari ‘Ashura, Nisfu Sya’ban dan Isra’ Mi’raj pasti akan diadakan di rumahnya sepanjang tahun. Tambahan lagi di bulan Ramadhan sepanjang tahun, para qurra’ akan berhimpun dirumahnya untuk menghidupkan bulan ramadhan dengan bacaan ayat suci al-Qur’an. Seluruh perbelanjaan ini dan para qurra’ di bulan Ramadhan ditanggung olehnya. Hal ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa  bapa Sayyid Qutb seorang yang sangat pemurah dan amat disegani di desanya. Selain itu juga, bapanya juga terlibat dalam gerakan politik dengan menyertai parti al-Watan pimpinan Mustafa Kamil., di mana beliau adalh anggota lujnah perti tersebut di kampungnya.

Seluruh gambaran tadi menunjukkan kepada kita bahawa bapa Sayyid Qutb adalah seorang yang berpewatakan baik hati dan pemurah. Sanggup berkorban tanpa memikirkan tentang kepentingannya. Disebabkan terlalu lebih berbelanja melebihi keperluannya, akhirnya menyebabkan beliau terpaksa menanggung hutang yang besar di samping jumlah tanggungan yang besar. Bagi mengatasi masalah tersebut , beliau terpaksa menjual tanah-tanah yang menjadi milik keluarganya selama ini. Akhirnya beliau meninggal dunia setelah Sayyid Qutb belajar di Kaherah.

Manakala ibu Sayyid Qutb pula bernama Fatimah Husin Uthman yang juga berasal daripada keluarga berada dan terhormat di dalam masyarakat desa. Bapanya seorang yang berkelulusan al-Azhar. Ibunya merupakan seorang yang amat cintakan al-Qur’an. Sayyid Qutb dibesarkan oleh seorang ibu yang memiliki kesempurnaan sifat sebagai seorang wanita solehah dan berjiwa kuat. Ia seorang pemurah dan terkenal banyak bersedekah. Ia juga gemar memasak makanan untuk pekerjanya diladang serta untuk para tamu yang datang mengaji dirumahnya. Bunda Sayyid Qutb tidak pernah menganggap semua ini sebagai beban karena ia menjadikan amal tersebut sebagai bahagian dari upayanya mendekatkan diri kepada Allah SWT. Amal seperti ini memang sudah menjadi tradisi seorang isteri yang mendampingi para juru dakwah dirumah yang kerap digunakan untuk dakwah islam.
          Sayyid Qutb mempunyai empat orang saudara seibu sebapa. Anak pertama dari adik-beradik ini ialah Nafsiah. Usianya tiga tahun lebih tua daripada Sayyid Qutb. Abangnya ini bukan penulis tetapi merupakan ahli gerakan Islam dan terlibat bersama keluarganya. Disebabkan gerakannya yang ekstrim, anaknya Rifaat telah meninggal dunia akibat penyiksaan yang diterimanya dalam penjara rejim Jamal Abdul Nasir pada tahun 1965 bersama ribuan anggota Ikhwan yang lain. Bahkan Nafisah sendiri turut menerima penyiksaan yang serupa dan hanya dibebaskan selepas kematian Rifaat sewaktu usianya melewati 65 tahun.
          Di bawah Sayyid Qutb pula saudara perempuannya yang bernama Aminah. Beliau terlibat dengan dunia penulisan khususnya karya-karya yang bertemakan Islam. Beliau berjaya menerbitkan dua buah buku koleksi yang mengandungi pelbagai cerita iaitu Fi Tayyar al-Hayah dan Fi al-Tariq. Pada tahun 1973 beliau berkahwin dengan Muhammad Kamaluddin al-Sananiri yang mati dalam tahanan kerajaan Mesir pada tahun 1981. Anak lelaki kedua keluarga ini bernama Muhammad Qutb dan beliau dilahirkan pada tahun 1919, tiga belas tahun lebih muda daripada Sayyid Qutb. Beliau merupakan seorang yang berkelulusan Sarjana Muda Sastera Inggeris dengan Diploma Pendidikan. Beliau juga telah terlibat dalam penulis yang berkaitan dengan Islam. Banyak karya beliau telah dihasilkan.
         Sementara adik bongsunya bernama Hamidah dan dibesarkan dalam suasana Islam seperti saudaranya yang lain. Beliau turut juga terlibat  dengan dunia penulisan, di mana beliau turut menyumbangkan tenaga menghasilkan buku al-Atyaf al-Arba’ah bersama-sama Sayyid Qutb, Muhammad dan Aminah. Beliau juga turut sama terlibat dengan gerakan Ikhwan sehingga turut menerima nasib yang sama dengan anggota-anggota lain.
          Pada pagi Isnin, 29 Ogos 1966, Sayyid Qutb bersama-sama dua orang sahabatnya, Abdul Fatah Ismail dan Muhammad Yusuf Hawash telah menemui syahadatnya di tiang gantung setelah didapati bersalah oleh “Mahkamah Tentera” yang telah ditubuhkan oleh kerajaan revolusi di zaman itu semasa pemerintahan Jamal Abdul Nasser. Mahkamah ini mempunyai sejarah pengadilan yang hitam dan banyak mengorbankan orang-orang yang tidak berdosa.mati Berita hukuman mati yang dikenakan ke atas Sayyid Qutb mendapat perhatian seluruh dunia.  Walaupun banyak pertubuhan-pertubuhan dan pemimpin-pemimpin Islam mengemukan rayuan kepada Presiden Mesir , Jamal Abdul Nasser supaya hukuman tersebut dipertimbangkan.

2.2  Latar Belakang Pendidikan Dan Kerjaya
             Sayyid Qutb mula mendapt pendidikan awal di rumahnya . Ibu bapanya yang kuat beragama telah mendidiknya dengan didikan dan persekitaran Islam. Sewaktu berusia  mendapat pendidikan rasmi di sekolah rendah yang terletak di kampungnya bermula tahun 1912. Di sepanjang zaman kanak-kanak dan remajanya beliau telah memperlihatkan petanda-petanda kecerdasan yang tinggi dan bakat-bakat yang cemerlang yang menarik perhatian para guru dan pendidiknya, di samping memperlihatkan kegemaran membaca yang lahap, keberanian mengemukakan pertanyaan-pertanyaan dan mengeluarkan pendapatpendapat yang bernas. Kerana kepandaian Sayyid Qutb dalam pelajaran, tempoh pendidikan Sayyid Qutb dipendekkan daripada lima tahun kepada empat tahun. Guru-gurunya juga mengakui pencapaian beliau. Ini terbukti apabila Sayyid Qutb berjaya menghafal keseluruhan Quran dalam tempoh dua tahun.
           Selepas tamat peringkat rendah, Sayyid Qutb ingin segera menyambung pelajarannya di Kaherah. Namun, cita-citanya terpaksa dipendamkan seketika kerana tercetusnya revolusi pada tahun 1909. Oleh itu, beliau terus menetap di desanya sehingga tamatnya revolusi pada tahun 1920. Pada tahun 1920 beliau telah menyambung pelajaran di Kaherah di Sekolah Latihan Perguruan Rendah Abd Aziz sewaktu berusia 14 tahun. Sayyid Qutb datang ke Kaherah dengan satu tanggunjawab melaksanakan impian ibunya agar menjadi “orang besar” supaya tanah orang tuanya dapat ditebus.  
           Selepas tamat pengajian, Sayyid Qutb menjadi guru sekolah rendah bagi menyara keluarganya. Pada tahun 1929, Sayyid Qutb melanjutkan pelajaran di Kolej Dar al-Ulum.Beliau berjaya mendapat ijazah Sarjana Muda Sastera dan Diploma Pendidikan pada tahun 1933. pada waktu itu beliau berusia 27 tahun. Kemudian, beliau ditawarkan menjadi guru di Kolej Dar al-Ulum. Beliau mengajar selama enam tahun. Tahun pertama di Bani Suif, tahun seterusnya di Dimyah, dua tahun mengajar mengajar di pusat Bandar Kaherah dan dua tahun terakhir mengajar di Helwan, tempat di mana akhirnya beliau menetap bersama keluarganya.
           Pada tahun 1948, beliau dihantar ke Amerika Syarikat oleh Kementerian Pendidikan Mesir bagi mengkaji sistem pendidikan Barat. Di sana, beliau mendapat ijazah sarjana bagi Universiti Northern Colorado dalam bidang pendidikan. Sekembalinya dari Amerika beliau memutuskan untuk menumpukan seluruh hayatnya kepada pengajian lslamiyah dan harakat Islamiyah dan meninggalkan gelanggang sastera yang menjadi gelanggang peminatannya di zaman silam

2.3   Karya-Karya Dan Penulisan

             Sejarah penglibatannya dalam bidang penulisan berkait rapat dengan situasi kehidupan Sayyid Qutb di Kaherah pada masa itu. Beliau menghadapi kesempitan hidup dan bertanggungjawab menyara kehidupan keluarganya. Pada mulanya belia hanya menulis di surat khabar dan majalah. Lama kelamaan beliau berjinak-jinak dalam penulisan apabila pasaran akhbar mendapat sambutan yang memberangsangkan.
            Beliau berkenalan dengan Abbas Mahmud ‘Aqqad sejak beliau tinggal dengan bapa saudaranya. Perkenalan itu menarik masuk Sayyid Qutb menyertai parti al-Wafd. Bakat penulisan beliau dihargai oleh ‘Aqqad yang cenderung kepada pemikiran sosialis apabila beliau ditawar menulis dalam satu ruangan akhbar al-Balaq terbitan parti al-Wafd. Beliau mula menulis pelbagai jenis karya di dalam akhbar itu bermula pada tahun 1921 dan di sinilah beliau telah mula memperoleh pengalaman dalam berkarya. 
Semasa beliau berkhidmat dengan pihak kerajaan, segala idea dan pandangan dalam tulisannya ditolak 100 peratus oleh mereka. Segala hasil kajian yang dibuat olehnya tidak diterima oleh pihak kerajaan. Hal ini menyebabkan Sayyid Qutb membuat keputusan bagi meletakkan jawatan dalam sektor kerajaan dan mula bergiat aktif sepenuhnya dalam bidang penulisan pada tahun 1951. Rencana bertajuk al-Taswir al-Fanni fi al-Quran yang diterbitkan dalam al-Muqtatif adalah batu loncatan baginya kembali kepada pemikiran Islam. Akhirnya pada tahun 1945, rencana itu dibukukan. Kemudian menyusul pula buku seterusnya yang bertajuk Masyahid al-Qiyamah fi al-Quran. Pada tahun 1948, semasa di Amerika Syarikat, terbit pula buku beliau yang bertajuk al-‘Adalah al-Ijtima’iyyah fi al-Islam
 Beliau menyatakan keadilan yang diimpikan oleh manusia hanya tercapai melalui pemerintahan Islam. Beliau juga menulis dalam bukunya yang bertajuk al-Tifl min al-Qaryah yang memperjuangkan nasib kaum tani. Penulisannya tersebut akhirnya telah menimbulkan  kemarahan dan tentangan daripada golongan yang beraliran aristokrat.
Sepanjang kehidupan beliau yang berliku, banyak karya penulisan telah dihasilkan. Antaranya meliputi pelbagai bidang seperti sastera, pendidikan, politik, kemasyarakatan, falsafah dan keagamaan. Berikut adalah antara buku yang telah beliau tulis dan keluarkan:[1]
Di antara himpunan buku-buku kesusateraannya ialah :
§  Muhimmah al-Sya’ir fi al-Hayah
§  Al-Taswir al-Fanni fi al-Qur’an
§  Masyahid al-Qiyamah fi al-Qur’an
§  Al-Naqad al-‘Arabi-Usuluha wa Manahijuhu
§  Naqad Kitab Musttaqbal al-Thaqafah fi Misr

Manakala buku-buku bercorak memori ialah :

§  Al-Tifl min Qaryah
§  Al-Atyaf al-Arba’ah
§  Asywak
§  Al-Madinah al-Masyurah

Buku-buku pendidikannya dan pelajarannya pula ialah :
§  Al-Qisas al-Diniyy
§  Al-Jadid fi al-Lughah al-‘Arabiyyah
§  Al-Jadid fi al-Mahfuzat
§  Rawdah al-Atfal
Sementara himpunan dan buku-buku mengenai kemasyarakatan, ekonomi dan Islam ialah:
§  Al-‘Adalah al-Ijtima’iyyah fi al-Islam
§  Ma’rakah Islam wa al-Ra’sulmaliyyah
§  Al-Salam al-‘Alami wa al-Islam
§  Nahwa Mujtama’ Islami
§  Fi Zilal al-Qur’an
§  Khasa’is al-Tasawwur al-Islamiy
§  Al-Islam wa Musykillah al-Hadarah
§  Dirasat Islamiyyah
§  Hadha ad-Deen
§  Al-Mustaqbal li hadha ad-Deen
§  Ma’alim fi al-Tariq

Tahun 1951 - 1964 merupakan masa peralihan beliau kepada penulisan-penulisan Islamiyah yang serius dan cemerlang di samping merupakan tahun-tahun yang amat produktif di mana lahirnya karya-karya agung yang menjadi buku-buku warisan Islamiyah yang penting di zaman ini dan di zaman-zaman mendatang. Dan karya yang menjadi mercu tanda daya penghasilan intelektualnya ialah tafsir “Fi Zilalil-Qur’an” dan juzu’ pertama dari tafsir ini muncul pada tahun 1952 dan beliau telah menyelesaikanpenulisan tafsir ini sebanyak tiga puluh juzu’ pada akhir tahun lima puluhan, iaitu mengambil masa kira-kira hampir lapan tahun.

Tafsir Fi Zilalil-Qur’an adalah ditulis dengan bersandarkan kepada kajian-kajian beliau yang mendalam, yang ditimba secara langsung dari al- Qur’an dan as-Sunnah, di samping bersumberkan kepada kitab-kitab tafsir yang mu’tabar. Beliau memasuki ke dalam penulisan tafsir ini setelah melengkapkan dirinya dengan pengalaman-pengalaman dan kajian-kajian yang kaya di bidang penulisan, keguruan, pendidikan dan pengamatannya yang luas dan tajam dalam perkembangan-perkembangan sosial dan politik dunia semasa. Beliau telah menghabiskan lebih dari separuh usianya dalam pembacaan dan penela’ahan yang mendalam terhadap hasil-hasil intelektual manusia di dalam berbagai-bagai bidang pengajian dan teori-teori, berbagai-bagai aliran pemikiran semasa dan berbagai-bagai kajian mengenai agama-agama yang lain.

Di samping itu tafsir Fi Zilalil-Qur’an adalah ditulis dengan tinta derita dan sengsara yang begitu pahit akibat penindasan dan permainan politik gila kuasa yang zalim di zaman itu. Beliau telah menjalani penyeksaan fizikal yang kejam dan tidak berperi kemanusiaan dan seluruh kesengsaraan ini telah membuat seluruh entiti beliau tertumpu kepada Allah dan kepada penghayatan al-Qur’an, di mana beliau hidup di bawah bayangan al-Qur’an dengan seluruh jiwa dan perasaannya dan hidup sebagai seorang penda’wahyang ‘arifbillah, sabar, gigih, redha, tenang, tenteram, berserah bulat kepada Allah, tidak mengenal kalah dan putus asa. Semuanya itu merupakan faktorfaktor penting yang melahirkan tafsir “Fi Zilalil-Qur’an” di dalam bentuknya yang unik yang mengatasi tafsir-tafsir yang lain.

3.      PENGARUH DAN PEMIKIRAN SAYYID QUTB

Sayyid Qutb mula berkecimpung dengan jamaah Ikhwan pada tahun 40an. Sejak awal pengllibatannya, beliau menjadi pendokong yang amat aktif. Beliau tidak rela hanya sekadar menjadi pemerhati atau penyokong sahaja. Kerana itu dengan segala kebolehan dan kepakaran yang ada padanya –iaitu dalam bidang penulisan dan kesusasteraan– beliau berusaha bersungguh untuk menyedarkan kaum muslimin supaya bersama-sama Ikhwan Muslimin untuk berjihad dan berjuang mengembalikan kedaulatan Islam di muka bumi ini. Pada tahun 1950, beliau mula menulis Fi Zilalil Quran, kitab tafsir yang amat disanjung itu. Pada tahun yang sama juga beliau diamanahkan untuk menjadi pemimpin redaksi majalah rasmi Ihkwan iaitu “Ikhwanul Muslimin”,
Beliau tertarik dnegan idea Al Maududi berkenaan Tauhid Hakimiyyah yang membawa idea ketunggalan Allah dalam menggubal sistem dunia. Beliau menafikan semua ideologi manusia. Pemikiran beliau kelihatan radikal dan ،®syadid،¯ apabila menolak manusia sebagai agen pembina perlembagaan kerana beliau berhasrat menyeimbangkan pemikiran sekular dengan idea usul agama iaitu Uluhiyyah Allah dalam setiap segi kehidupan. Istilah memperoleh pengertian khas di tangan tokoh besar Ikhwan al-Muslim, iaitu Sayyid Qutb, iaitu teori hakimiyyah, teori tentang kekuasaan dan kedaulatan Ilahi. (divine sorereignity). Ini adalah reaksi pemikir Islam terhadap sistem politik dan pemerintahan barat yang secular dan menekan prinsip kedaulatan rakyat.[2]
Assyahid Sayyid Qutb banyak membincangkan Tauhid Uluhiyyah dari sudut Ubudiyyah dan Tasyri' serta zat dan sifat di dalam tafsirnya Fi Zilal al-Qur'an. Beliau mengambil pendekatan al-Tauhid berdasarkan permasalahan kefahaman umat Islam tentang al-Tauhid pada zamannya dan berlanjutan ke hari ini. Puncanya bila mana kefahaman Islam yang dimiliki oleh umat Islam telah dirosakkan oleh fahaman sekularisma yang menjajah pemikiran umat manusia seluruhnya. Fahaman ini yang memisahkan kedaulatan hukum Allah daripada aspek politik pemerintahan. Perkembangan fahaman inilah yang menjatuhkan kerajaan Uthmaniyyah, yang merupakan Khilafah Islam terakhir.
Dalam konteks ini, Sayyid Qutb menjelaskan mengenai Syari'ah dan Hukum. Beliau memberikan penekanan yang lebih terhadap hal ini kerana di sudut Tauhid, ia dianggap sebagai perkara baru di sudut perbahasan ilmu. Sedangkan Tauhid Uluhiyyah dari sudut zat dan sifat telah menjadi perbahasan tradisi dalam ilmu Tauhid.
Bagaimanapun konsep Uluhiyyah yang dihuraikannya dari sudut Hakimiyyah dan Tasyri' ini tidak lari daripada asas yang menjadi pegangan para Ulama' sebelumnya. Antaranya beliau menjelaskan bahawa setiap orang yang mengucapkan lafaz kalimah Syahadah, masih belum dianggap bersyahadah melainkan mereka menunaikan kandungan dan tuntutan Syahadah tersebut, yaitu mereka tidak boleh mengambil selain dari Allah sebagai Ilah (yang diberikan pengabdian). Justeru mereka tidak boleh mengambil Syari'ah selain daripada Syari'ah Allah. Ini kerana menurutnya ciri Uluhiyyah yang paling khusus ialah menentukan Syari'ah kepada hamba-Nyadan menerima sepenuhnya hukum dari Allah.
Sayyid Qutb juga mengatakan bahawa adalah suatu nikmat yang tinggi daripada Allah apabila ditentukan dakwah Rasulullah S.A.W. sejak hari pertama kerasulannya ialah seruan Tauhid yang terkandung dalam Syahadah. Hal ini bukanlah perkara mudah mengikut perhitungan biasa kerana menurutnya orang-orang Arab ketika itu sedia mengetahui dari sudut bahasa mereka makna 'Ilah' dan kalimah Syahadah. Mereka mengetahui bahawa al-Uluhiyyah bermakna al-Hakimiyyah yang tertinggi. Mereka juga sedia mengetahui bahawa mentauhidkan Uluhiyyah dan mengEsakan Allah dari sudut ini bermakna sedia merungkaikan seluruh kedaulatan yang dimiliki oleh para pendita, ketua-ketua qabilah, para pimpinan dan pemerintah. Kedaulatan ini seluruhnya wajib dikembalikan kepada Allah.

             Orang-orang Arab ketika itu, kata Sayyid Qutb lagi, sedia mengetahui kalimah Syahadah adalah pernyataan revolusi terhadap kedaulatan yang berkuasa di muka bumi. Ini berdasarkan kedaulatan itu merupakan rampasan daripada ciri Uluhiyyah Allah yang paling utama. Perkara  itu perundangan yang ditegakkan di atas kuasa-kuasa rampasan  tersebut.

              Sayyid Qutb menegaskan Syahadah dengan maknanya yang paling hampir ialah mengEsakan Allah dari sudut al-Uluhiyyah, dan tidak mempersekutukan bersama-Nya dengan sesuatu pun daripada makhluk-Nya pada mana-mana ciri Uluhiyyah-Nya. Ciri-ciri al-Uluhiyyah yang paling khusus ialah hak al-Hakimiyyah yang mutlak. Kemutlakan Hakimiyyah ini pula menjadi asas kepada hak menentukan Syari'ah kepada hamba-Nya, hak menentukan skim kehidupan mereka dan juga hak menentukan nilai-nilai dalam kehidupan tersebut.

             Oleh yang demikian, katanya, Syahadah tidak akan tertegak dan terlaksana melainkan dengan mengiktiraf bahawa Allah sahajalah yang berhak ke atas segala-galanya itu. Persoalan al-Hakimiyyah dan Tasyri' ini menjadi lebih penting kepada Sayyid Qutb apabila beliau menegaskan bahawa al-Hakimiyyah adalah asas kepada al-Din. Tegasnya bahawa dalam agama Islam persoalan Syari'ah adalah sama dengan persoalan aqidah itu sendiri dalam menentukan sifat-sifat Islam ataupun syirik. Ini kerana persoalan Syari'ah adalah sebahagian daripada persoalan aqidah. Malah jika diperhatikan kepada realiti al-Din sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Qur'an, begitu jelas bahawa hakikat Syari'ah adalah aqidah itu sendiri.
Seterusnya Sayyid Qutb menjelaskan bahawa semenjak beberapa kurun yang panjang pihak musuh-musuh Islam telah menggunakan pelbagai cara untuk merosakkan kefahaman tentang al-Din itu sendiri. Sehinggakan kalangan ahli agama sendiri memahami bahawa persoalan al-Hakimiyyah adalah persoalan yang terpisah daripada persoalan aqidah. Mereka beranggapan tidak akan terkeluar daripada Islam jika pemerintahan itu keluar daripada pemerintahan yang telah digariskan oleh Allah. Walhal tegas Sayyid Qutb bahawa agama ini tidak mengenali pemisahan antara Aqidah, Ibadah dan Syari'ah.
Begitu juga beliau mengatakan bahawa orang-orang yang menghukum syirik terhadap penyembah-penyembah berhala tetapi tidak menghukum dengan hukuman yang sama terhadap orang-orang yang berhukum kepada Toghut. Mereka itu, tegas Sayyid Qutb, tidak membaca al-Qur'an dan tidak memahami realiti al-Din. Sayyid Qutb menyimpulkan bahawa kewujudan gama Islam ialah wujudnya Hakimiyyah Allah. Apabila ternafi al-Hakimiyyah, maka ternafilah wujud agama ini pada hakikatnya.

Kegigihan Sayyid Qutb menimbulkan ancaman kepada Kerajaan Mesir ketika itu yang menganut fahaman Sosialisme, menyebabkan beliau ditangkap pada tahun 1954 dan dijatuhkan hukuman penjara selama 15 tahun. Di dalam penjara, beliau diseksa dengan amat kejam hingga menimbulkan radang paru-paru yang amat teruk. Kerana kesihatan yang amat buruk, beliau dibebaskan pada tahun 1964 iaitu setelah 10 tahun dalam penjara. Pemerintah Mesir berharap dengan kesihatan yang buruk itu, Said Qutb tidak akan bergerak aktif dengan Ikhwan selepas dikeluarkan dari penjara. Apatahlagi umurnya ketika itu telah melebihi 60 tahun. Namun sangkaan mereka meleset. Said Qutb bergerak lebih aktif selepas dibebaskan.

Tidak sampai setahun dibebaskan, Said Qutb ditangkap semula iaitu pada tahun 1965. Pada kali ini, tidak lagi hukuman penjara yang mengikuti beliau tetapi hukuman gantung. Said Qutb telah dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh mahkamah Tentera Mesir bersama dua lagi rakannya iaitu Muhammad Hawwasy dan Abdul Fattah Ismail. Tatkala mendengar hukuman ke atasnya dibaca, tidak ada tanda gelisah, takut mahupun rasa bersalah di wajahnya. Dengan tenang beliau berkata; “Al-Hamdulillah” kerana apa yang beliau idam-idamkan sekian lama telah dikabulkan Allah iaitulah mati sebagai seorang Syahid.














4.      KESIMPULAN.
Idea beliau secara umumnya dianggap radikal terutama yang bersangkut-paut dengan ideologi dan sekular. Beliau tidak berkompromi dalam hal kekafiran jika tidak berpegang dengan Al Quran dan sistem Islam. Beliau pernah ditegur oleh Imam Hassan Ismail Al Hudhaibi iaitu Mursyidul Am Ikhwan ke-2 selepas idea beliau tentang Hakimiyah menghasilkan segolongan pemuda yang taasub, hammasah dan gopoh  dalam tindakan.
 Namun begitu idea beliau adalah pelengkap dan perlukan juga pelengkap daripada penulisan dan idea tokoh lain. Hakikatnya beliau adalah pemikir yang hebat terutama dalam menyediakan kaedah penentuan  diantara yang hak dan batil. Beliau telah memainkan peranan yang penting dalam masyarakat  yang sering membisu apabila  gerakan Islam menghadapi tekanan dan penindasan  sedangkan mereka menyokongnya sebelum itu. Menurut penilaian Sayyid Qutb, rakyat Mesir umunya masih belum memiliki tahap kesedaran dan kefahaman aqidah yang boleh menentukan sikap dan menggerakkan tindakan.
Berdasarkan hakikat inilah beliau melalui penulisannya terutama Fi Zilal al-Qur’an, bersungguh-sungguh menjelaskan hakikat Uluhiyyah yang sebenar dan cirri-cirinya yang terdiri dari Rububiyyah dan Hakimiyyah serta mengetahui hakikat Ubudiyyah dan batas-batasnya akan menyampaikan manusia kepada pengabdian terhadap Tuhannya secara betul.Beliau menyatakan keyakinan terhadap Uluhiyyah yang Esa merupakan kaedah kepada suatu cara hidup yang lengkap.
Namun begitu, disebabkan pemikiran dan pengaruh  beliau dalam bidang politik dan gerakan Ikhwan Muslimin, kerajaan Mesir telah menekan habis-habisan Ikhwan, termasu menghapuskan kepimpinannya terutamanya Sayyid Qutb yang dianggap pelopor kepada persoalan al-Hakimiyyah.  Namun begitu, pemikirannya dan penulisannya  masih lagi diguna pakai hingga hari ini oleh gerakan-gerakan Islam dalam menghadapi mehnah globalisasi kini.



[1] Mohamad Fauzi Zakaria, 2007, hlm 33
[2] Shahrom TM Sulaiman,2002,hlm 70

No comments:

Post a Comment