Saturday, March 5, 2011

Aliran Liberal : Implikasinya Kepada Umat Islam Kini




Pada abad ke-20 yang lalu, gagasan pemikiran modenisme Islam telah digerakkan oleh beberapa tokoh ilmuan dan cendikiawan Muslim ternama seperti as-Syaikh Jamaluddin al- Afghani, as-Syaikh Muhammad ' Abduh, Sayyid Ameer Ali, Syed Ahmad Khan, dan lain-lain. Meskipun niat para reformis itu untuk menjadikan umat Islam maju dalam bidang sains dan teknologi, namun kesan-kesan modenisme yang berakar dari filsafat Barat telah menyebabkan timbulnya kesan-kesan negatif dalam pemikiran Islam. Saat ini kita sedang berhadapan dengan gejala pemikiran Islam liberal.
Pada hakikatnya ia adalah kesinambungan dari pemikiran modenisme. Bagaimanapun, wajah pemikiran Islam liberal yang sedang dikembangkan pada masa kini nampaknya lebih radikal dari pemikiran modenisme Islam. Justeru, idea-idea kontroversi dalam perkara-perkara asas Islam sengaja dilontarkan ke khalayak masyarakat Islam. Kertas ini adalah paparan sepintas lalu kerangka-kerangka pemikiran Islam liberal. Kemudian, kita akan membuat fokus terhadap implikasi pemikiran Islam terhadap kedudukan Islam dan para penganutnya di Malaysia.
Sebelum dibincangkan dengan lebih mendalam seeloknya kita perhalusi dahulu makna dan definisi liberal dan sejarah dan kemunculannya. Perkataan liberal berasal daripada perkataan Latin liber yang bermaksud bebas atau bukan hamba. Perkataan liberal banyak dikaitkan dengan perkataan Inggeris liberty dan konsep kebebasan. Liberalisme ialah falsafah yang meletakkan kebebasan individu sebagai nilai politik tertinggi.[1] Seseorang yang menerima fahaman liberalisme dipanggil seorang liberal. Walau bagaimanapun, maksud perkataan liberal mungkin berubah mengikut konteks sesebuah negara.



Liberalisme menekankan hak-hak peribadi serta kesamarataan peluang. Dalam fahaman liberalisme, pelbagai aliran dengan nama "liberal" mungkin mempunyai dasar dan pandangan yang berlainan, tetapi secara umumnya aliran-aliran ini bersetuju dengan prinsip-prinsip berikut termasuk kebebasan berfikir dan kebebasan bersuara, batasan kepada kuasa kerajaan, kedaulatan undang-undang, hak individu ke atas harta persendirian,[2] pasaran bebas[2] dan ketelusan sistem pemerintahan.[3] Mereka yang liberal menyokong sistem kerajaan demokrasi liberal dengan pengundian yang adil dan terbuka, di mana semua rakyat mempunyai hak-hak yang sama rata di bawah undang-undang.[4]
Fahaman liberalisme moden berakar umbi dari Zaman Kesedaran Barat dan kini mengandungi pemikiran politik yang luas dan kaya dari segi sumber. Liberalisme menolak kebanyakan tanggapan asas dalam hampir semua teori pembentukan kerajaan awal seperti seperti hak-hak raja yang diberikan oleh tuhan, status yang berasaskan keturunan dan institusi-institusi agama. Liberal beranggapan sistem ekonomi pasaran bebas lebih cekap dan menjana lebih banyak kemakmuran.[5]
Negara liberal moden awal adalah Amerika Syarikat[6], yang didirikan di bawah prinsip "setiap manusia diciptakan sama taraf; bahawa mereka diberi pencipta mereka hak-hak yang tidak boleh dinafikan; bahawa antara ini adalah kehidupan, kebebasan, dan mengejar kebahagiaan; bahawa untuk melindungi hak-hak ini, kerajaan dibuat oleh manusia, yang menggunakan kuasa mereka secara adil dengan izin mereka yang diperintah. Bermula di akhir kurun ke-18, liberalisme menjadi antara satu ideologi terpenting hampir di semua negara maju.
Kewujudan fahaman liberal ini telah merebak ke dalam Negara-negara Islam yang kononnya memperjuangkan pemodenan, termasuklah Malysia sehingga muncul fahaman Islam Liberal. Padahal fahaman ini secara halus telah memesongkan umat Islam dari landasan Islam sebenar. Pemikiran Islam liberal mendukung kuat gagasan pluralisme (jamak) agama-agama. Antara ideolog pluralisme agama ialah Dr. Nurcholis Madjid atau yang lebih dikenali sebagai Cak Nur. Dalam karya Teologi Inklusif Cak Nur (2001), Cak Nur membangunkan epistemologi inklusifnya dengan berhujah bahawa dengan hanya memahami perkataan dan konsep "aslama" atau "pasrah" ke hadrat Tuhan, lain-lain agama selain dari Islam adalah sah. Kepasrahan inilah yang diyakininya sebagai asas "kebenaran" untuk semua agama. Cak Nur seterusnya berhujah dengan ayat 46 Surah al-'Ankabut yang menyebut bahawa semua agama yang benar adalah Islam iaitu sikap berserah diri terhadap Tuhan. (Adian Husain dan Nuim Hidayat, Liberal Islam, Jakarta, 2002, ms. 104).
Sebenarnya aliran liberal ini telah menyebabkan berlakunya perkara-perkara yang telah membangkitkan satu aura yang berbahaya dalam masyarakat Islam di Malaysia. Gerakan Pemikiran Liberal mengandungi fahaman-fahaman yang didapati menyeleweng dari aspek akidah dan syariah yang jelas menyeleweng dan terpesong. Dari aspek akidah, aliran liberal mengamalkan Konsep Pluralisme sebagai pegangan utama. Pluralisme agama berpendirian bahawa setiap agama mempunyai konsep, persepsi dan respon yang tersendiri terhadap Realiti Yang Agung (ultimate reality). Semua agama adalah sama tarafnya merujuk kepada Realiti Yang Agung. Aliran ini juga membahagi wahyu kepada dua kategori iaitu wahyu yang bertulis dan wahyu yang tidak bertulis. Wahyu bertulis adalah al-Quran dan ia adalah teks semata-mata. Wahyu tidak bertulis adalah akal manusia dan akallah yang sebenarnya menghidupkan teks al-Quran berdasarkan tujuan, konteks suasana zaman. Bahkan golongan liberal ini mendakwa al-Quran diresapi dengan budaya Arab kerana orang Arab menjadi pemilik bahasa itu, tambahan pula katanya Nabi Muhammad yang menjadi pembawa risalah juga terdiri dari orang Arab. Mereka menyatakan bahawa kesahihan risalah tersebut tidak ada lagi kerana sebenarnya yang ada hanyalah message budaya Arab.
Islam liberal menolak syari'at Islam sebagai syari'at Allah S.W.T atau "Divine Law". Justeru, mereka menolak apa sahaja usaha untuk mendaulatkan syari'at Islam di negara-negara Islam seperti Sudan, Pakistan, Malaysia, Indonesia dan lain-lain. Aliran pemikiran ini mempersoalkan cara atau methodologi pentafsiran al-Quran yang digunapakai kini. Dengan slogan “membuka dan membebaskan tafsiran al-Quran”, aliran pemikiran ini menggunakan pendekatan takwilan sendiri terhadap beberapa ajaran al-Quran yang jauh berbeza dengan pegangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Contohnya, mereka mendakwa syurga dan neraka tidak wujud melainkan kesan psikologi kegembiraan dan kesedihan manusia. Hari akhirat ditafsirkan sebagai tidak wujud melainkan satu fasa untuk manusia mencapai satu tingkatan kepada tingkatan yang lebih matang dan sempurna.
Secara jelasnya, aliran liberal juga berpegang ‘membuka dan membebaskan' tafsiran al-Quran, sebagai alasan untuk memajukan umat Islam dan menganjurkan agar teks-teks al-Quran menempuh proses dekonstraksi bagi membolehkan tafsiran-tafsiran baru dibuat. Ilmu-ilmu Islam seperti Usul al-tafsir, Usul al-Fiqh, Usul alHadith, al-Jarah wa al-Ta’dil dan sebagainya yang telah secara Ijma’ diterima sebagai metod dalam displin ilmu, telah dikritik oleh aliran pemikiran ini sebagai buatan manusia. Penentuan hukum yang telah qat’ie dan hukum yang tidak qat’ie menurut mereka perlu dinilai semula dalam usaha merealisasikan konsep membuka dan membebaskan Islam melalui tafsiran semula ajaran Islam. Aliran pemikiran liberal ini mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum Fiqh iaitu mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum. Mereka berpendapat umat Islam perlu bebas dalam membuat keputusan terutama dalam persoalan hukum-hakam agama bagi menjalankan kemajuan dan pemodenan
Bahkan aliran pemikiran ini secara sinis mengkritik sifat Nubuwwah yang dimiliki oleh Rasululah s.a.w. dengan mengatakan ia tidak lain hanyalah sebagai kemampuan kepimpinan seorang manusia ke atas manusia lain (leadership value). Justeru sesiapapun boleh mempunyai sifat nubuwwah tersebut untuk memimpin manusia ke arah ciri-ciri yang baik. Malah mukjizat seperti peristiwa Isra’ dan Mikraj dianggap sebagai bahan cerita yang sengaja diperbesarkan (exageration) oleh pengikut baginda yang taksub sedangkan ia hanyalah sekadar mimpi yang tidak terjadi di alam realiti.
Jadi, dapatlah kita simpulkan di sini bahawa idea-idea Islam liberal yang kononnya berpaut kepada hujah-hujah al-Qur'an dan al-Sunnah, sebenarnya telah menyimpang dari tafsiran-tafsiran konvensional 'ulama salaf dan khalaf yang muktabar. Dalam hubungan ini, Profesor al-Qaradawi mengingatkan kita supaya berusaha sedaya mungkin untuk menguasai manhaj ilmu-ilmu Islam secara komprehensif sebelum membuat satu-satu rumusan pemikiran baru. Jadi, kita mesti bersikap kritis dan objektif apabila membicarakan pemikiran Islam liberal. Ini ialah kerana pemikiran-pemikiran nadir seumpama itu memang sentiasa ada pada setiap zaman. Fenomena sedemikian itu sudahpun diperingatkan oleh Junjungan Muhammad S.AW bahawa umatnya akan terpecah kepada 73 kelompok, hanya sanya SATU sahaja yang dapat dikategorikan sebagai golongan yang benar.

1 comment: