Saturday, May 23, 2015

IMAM WANITA menurut Sisters In Islam

ABSTRAK

Kajian ini memfokuskan perbincangan secara lebih mendalam berhubung dengan gerakan Sisters In Islam ( SIS ) yang lebih di tumpukan kepada istilah “ Imam Mar`ah” iaitu Amina Wadud. Lanjutan dari matlamat itu juga penulis melihat kepada konsep SIS ini dalam mempengaruhi akidah masyarakat umat Islam hasil daripada penyebaran gerakan-gerakan liberalisme tersebut. Bagi mendapatkan bukti yang kukuh pelbagai kaedah telah di gunakan dalam kajian ini. Sebagai metodologi kajian, wakil daripada kumpulan kami telah membuat tinjauan sendiri di pusat SIS ini yang bertempat di Petaling Jaya dan sempat menemubual beberapa pengikut gerakan ini serta kajian kepustakaan. Selepas itu, data telah dianalisa dan dibuat rumusan. Hasil daripada kajian ini, kami dapati mereka yang mengikuti gerakan ini ramai daripada golongan orang melayu sendiri. Oleh itu, pendidikan agama dan pengetahuan asas mengenai agama Islam perlu di terapkan semenjak kecil lagi. Berita ini amat menyedihkan bagi kami kerana mereka sendiri telah mencalarkan imej Islam dengan bertopengkan bangsa Melayu yang secara automatik beragama Islam. Kewujudan fahaman feminism ini amat membimbangkan generasi akan dating sekiranya geraka  SIS ini terus menular dalam kehidupan masyarakat Islam kelak. Kajian

1.      PENGENALAN SISTERS IN ISLAM (SIS)

1.1      Misi ( Sisters In Islam. 2005)
    Sisters in Islam (SIS) ialah sekumpulan wanita profesional beragama Islam yang memperjuangkan hak-hak wanita dalam kerangka Islam. Mereka menyokong semangat revolusi Islam, satu agama yang telah mempertingkatkan martabat wanita apabila ia diturunkan 1400 tahun dahulu. Mereka percaya Islam menolak penindasan wanita dan penafian hak-hak asasi mereka seperti kesaksamaan dan martabat kemanusiaan. Mereka amat sedih kerana agama telah diperalatkan untuk membenarkan amalan dan nilai-nilai budaya yang menganggap wanita sebagai berkedudukan lebih rendah daripada lelaki. Mereka percaya bahawa ini berlaku kerana kaum lelaki sahaja yang telah menguasai secara eksklusif hak mentafsir al-Quran.
     Mereka percaya bahawa setiap orang mesti diberi peluang sepenuhnya untuk menyertai segala bidang kehidupan demi pertumbuhan dan pengembangan ummah. Penyertaan wanita Islam sebagai rakan kongsi yang setaraf, dalam erti kata sepenuhnya dalam pembangunan dan kemajuan sosio-ekonomi ummah adalah menjadi keperluan masa kini. Mereka merumuskan bahawa adalah penting pengalaman, fikiran dan suara wanita dimasukkan ke dalam tafsiran al-Quran dan pentadbiran agama dalam dunia Islam.
      Mereka memperolehi ilham daripada penglibatan aktif wanita dalam kehidupan awam semasa zaman Nabi Muhammad saw. Koleksi riwayat hidup para Sahabat Nabi memuatkan lebih daripada 1,200 riwayat Sahabat Nabi yang terdiri daripada wanita. Antara mereka ialah para penyampai hadith, para wali dan sufi, para syahid, pembebas abdi, dan wira peperangan.
            Usaha mereka mempromosi hak-hak wanita Islam adalah berasaskan prinsip-prinsip kesaksamaan, keadilan, kebebasan dan martabat seperti yang diperintah oleh al-Quran dan diperjelaskan oleh kajian mereka mengenai kitab suci ini. SIS telah ditubuhkan pada 1988 dan didaftar sebagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pada 1993 di bawah nama SIS Forum (Malaysia) Berhad. Nama Sisters in Islam terus digunakan dalam penulisan mereka.
       Misi mereka adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai prinsip-prinsip Islam yang sebenar, prinsip-prinsip yang memuliakan konsep kesaksamaan di antara wanita dan lelaki, dan berjuang ke arah pembentukan masyarakat yang mendokong prinsip-prinsip Islam seperti kesaksamaan, keadilan, kebebasan dan martabat dalam negara demokrasi.
1.2   Objektif utama ( Sisters In Islam. 2005)
·         Menegak dan membangunkan satu kerangka hak-hak wanita dalam Islam yang mengambil kira pengalaman dan realiti wanita;
·         Menghapuskan ketidakadilan dan diskriminasi terhadap wanita dengan mengubah amalan-amalan serta nilai-nilai yang menganggap bahawa taraf wanita adalah lebih rendah daripada lelaki; dan
·         Membina kesedaran awam dan memperbaharui undang-undang serta dasar-dasar mengenai kesaksamaan, keadilan, kebebasan, martabat dan demokrasi dalam Islam.
2.      ISLAM MENURUT SIS
Secara etimologi, SIS boleh dirujuk sebagai sebuah gerakan yang mempunyai dua premis utama yang tersirat di sebalik penubuhannya iaitu pertama; Islam dan reformasi agama, kedua; perjuangan mempertahankan hak-hak kemanusiaan. Justeru, kajian yang membandingkan ideologi atau kefahaman SIS dengan gagasan ideologi aliran Islam Liberal menjadi perkara paling asas dalam usaha untuk menjawab persoalan di atas. Di samping itu, reformasi Islam juga adalah antara hasrat dan matlamat utama penubuhan SIS. Maka sudah tentu kefahaman yang jelas terhadap perspektif Islam SIS menjadi asas penting kepada sebarang justifikasi terhadapnya.
SIS sebelum memulakan perbincangan mengenai konsep dan agenda perjuangannya, sudah awal-awal lagi memberi fokus pada aspek ideologi dengan menganjurkan perbincangan yang merujuk kepada maksud atau tujuan asal Islam yang diwahyukan dalam kehidupan umat manusia. SIS berusaha mengajak masyarakat Islam untuk menganalisis dan menilai semula apakah Islam seperti yang difahami dan diamalkan oleh majoriti umat Islam dewasa ini adalah sebenarbenarnya menepati maksud dan kehendak asal Islam yang diwahyukan itu. Lalu, dalam usaha untuk menjustifikasikan kewujudan SIS dan kepentingan pergerakannya, SIS memulakan perbincangannya dengan mengungkit persoalan yang dianggap sangat penting untuk difikirkan bersama iaitu tentang realiti Islam dalam perkembangan hidup umatnya, permasalahan dan punca-puncanya sehinggalah kepada kaedah penyelesaian yang perlu diusahakan. ( Sisters In Islam. 2005)
SIS menjelaskan di sini, bahawa realiti Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam dalam majoriti negara Islam tidak menggambarkan ajaran Islam yang asal. Sebaliknya, SIS melihat dunia Islam tidak terlepas dari sebuah kehidupan yang mengamalkan sistem dan budaya yang meletakkan kaum wanita berada di kelas kedua berbanding lelaki. Bertolak dari persepsi tersebut, SIS mendakwa bahawa permasalahan yang dibangkitkan itu bukan berpunca dari agama atau sumbernya iaitu al-Qur`an. Secara umumnya, SIS melihat faktor utama kepada permasalahan tersebut adalah akibat daripada penerimaan Syariah yang menyeleweng dari nilai-nilai keadilan dan kesaksamaan seperti yang diiktiraf dalam konteks dunia moden.

3.      IMAM WANITA : KONTROVERSI DR AMINA WADUD.

    Amina Wadud wanita yang pernah mencetuskan kegemparan di seluruh dunia apabila beliau dengan berani mengimamkan solat Jumaat pada 28 Oktober 2005 dengan makmumnya bercampur aduk antara lelaki dan wanita. Kegemparan ini menimbulkan rasa marah dan kecaman dari majoriti umat Islam di seluruh dunia.
Amina Wadud ialah seorang wanita, feminis, dan cendekiawan yang penuh kontroversi. Amina Wadud dilahirkan pada 25 September 1952 di Bethesda, Maryland. Bapanya merupakan seorang paderi Methodist dan ibunya pula berketurunan hamba dari Arab, Berber dan Afrika pada kurun ke-lapan Masehi. Beliau mengucap syahadah pada tahun 1972 sebelum mengetahui asal-usul keluarga sebelah ibu beliau. (Edward  Curtis. 2010, hlm 473)
Pada tahun 1988, beliau memperoleh Ijazah Doktor Falsafah dalam Bahasa Arab dan Pengajian Islam dari Universiti Michigan (Michigan University). Semasa pengajian ijazah, beliau mempelajari Bahasa Arab peringkat lanjutan di Universiti Amerika (American University), dan Pengajian Quran dan Tafsir di Universiti Kaherah (Cairo University), dan juga kursus dalam Falsafah di Universiti Al-Azhar (semua universiti tersebut terletak di Kaherah, Mesir). (Edward  Curtis. 2010, hlm 473)
Beliau kini berkhidmat sebagai Profesor Madya Pengajian Islam (Associate Professor of Islamic Studies) di Universiti Commonwealth Virginia (Virginia Commonwealth University) di Richmond, Virginia, Amerika Syarikat. Sebelum itu beliau menyandang jawatan Profesor Madya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, untuk tempoh yang lama semenjak 1989.
Kajian-kajian Amina Wadud tertumpu kepada jantina dan al-Quran. Beliau telah menulis untuk subjek berkenaan dalam bukunya Quran and Woman: Rereading the Sacred Text from a Womans Perspective (Quran dan Wanita: Pentafsiran Kembali Ayat-Ayat Suci dari Kaca Mata Wanita). Edisi pertama buku tersebut diterbitkan oleh Sisters in Islam di Malaysia dan menjadi rujukan berkisar subjek-subjek jantina dan al-Quran oleh aktivis dan pengkaji akademik di seluruh dunia. Setelah menerbitkan buku pertamanya itu, beliau sering membuat syarahan di universiti-universiti dan perhimpunan-perhimpunan di Amerika Syarikat, Jordan, negara-negara Afrika dan Afrika Selatan, Nigeria, Kenya, Pakistan, Indonesia, Kanada, Norway, Belanda, Bosnia-Herzegovina, Sepanyol, dan Malaysia. ( Sisters In Islam. 2005)
Amina Wadud secara terbuka mengatakan beliau tidak bersetuju dengan beberapa ayat Al-Quran, terutamanya yang berkenaan memotong tangan pencuri kerana percaya memotong tangan merupakan perbuatan kasar (brutal behavior). Beliau juga menolak beberapa hukuman lain yang terdapat dalam Al-Quran, Amina Wadud menganjurkan empat kaedah baru menafsir Al-Quran, iaitu: ( Sisters In Islam. 2005)
1) Pembacaan harafiah teks Al-Quran.
 2) Hujah (legalistic) yang mengekang bagaimana ayat itu diguna pakai.
3) Tafsiran semula dari sudut pandangan sebaliknya (baru) .
4) Menolak Al-Quran apabila seseorang tidak bersetuju dengannya.


     3.1  Imam wanita untuk Solat Jumaat
Amina Wadud menjadi subjek hangat di dalam perbincangan undang-undang Islam apabila beliau menjadi imam untuk Solat Jumaat kepada 100 orang lelaki dan perempuan di Gereja Besar Keuskupan St. John the Divine di New York pada 18 Mac 2005. Tindakan beliau ini memecah tradisi Islam bahawa hanya lelaki boleh menjadi imam dalam solat lebih-lebih lagi bagi Solat Jumaat (wanita dibenarkan menjadi imam untuk makmum yang terdiri dari kalangan wanita). Sebelum itu, tiga buah masjid menolak untuk dijadikan tempat bagi acara tersebut dan sebuah muzium yang pada mulanya bersetuju menarik diri akibat dari ancaman bom. (Edward  Curtis. 2010, hlm 473)
Amina Wadud bukan pertama kali mencetuskan kontroversi. Pada Ogos 1994, beliau pernah menyampaikan Khutbah Jumaat bertajuk Islam as Engaged Surrender di Masjid Claremont Main Road di Cape Town, Afrika Selatan. Akibat dari perbuatan beliau tersebut, terdapat usaha-usaha untuk menyingkirkan beliau dari Universiti Commonwealth Virginia.
Di sebalik bantahan dan kritikan majoriti masyarakat Islam terhadap tindakan Amina Wadud, beliau masih menerima jemputan untuk bercakap dan menjadi imam untuk Solat Jumaat. Pada 28 Oktober 2005, beliau menjadi imam kepada lebih kurang 30 orang setelah menyampaikan syarahan di International Congress on Islamic Feminism (Kongress Antarabangsa Feminisme Islam) di Barcelona, Sepanyol. Majoriti masyarakat Islam menolak sama sekali wanita sebagai imam untuk solat Jumaat dan solat lain yang makmumnya terdiri daripada laki-laki. (Edward  Curtis. 2010, hlm 474)

4.      PENDAPAT SISTERS IN ISLAM TERHADAP IMAM WANITA
Pelbagai reaksi dan pandangan telah diberikan terhadap peristiwa Amina Wadud yang merupakan seorang professor pengajian Islam dan juga ahli teologi, yang mengimami solat jamaah yang terdiri dari lelaki dan perempuan di New York pada 18 Mac 2005. Perbincangan terbuka yang sihat ini merupakan suatu petanda yang baik bagi umat Islam umumnya, dan masyarakat Islam di Malaysia khasnya, kerana bukan sahaja ahli-ahli agama memberi pandangan mereka, malah ahli-ahli masyarakat umum juga merasa selesa untuk mengutarakan pendapat masing-masing. Secara tidak langsung perbincangan sebegini memberi gambaran mengenai persepsi dan pemahaman dunia masyarakat Islam di abad ke 21 ini berkenaan isu perempuan.
 Walaupun ada sesetengah yang menyokong konsep imam perempuan bagi jamaah yang makmumnya terdiri dari lelaki dan perempuan, namun banyak sekali pendapat yang menentangnya.
Bolehlah dirumuskan bahawa antara hujah-hujah popular yang menentang perkara ini adalah:
Ø  Agama Islam mengharamkannya
Ø  Sesungguhnya tidak pernah berlaku dalam sejarah dunia Islam
Ø  Kesemua ulama bersepakat menolak konsep ini
Ø  Lelaki yang menjadi makmum imam perempuan tidak akan khusyuk sembahyang kerana boleh merangsang nafsu syahwatnya
Ø  Tindakan Professor Amina itu hanya menimbulkan kontroversi yang tidak perlu kerana banyak lagi perkara yang lebih mendesak untuk difikirkan oleh umat Islam
Ø  Orang perempuan Islam tidak perlu menjadi seperti feminis barat yang mahu bertanding dengan lelaki dari semua segi

Banyak perkara yang harus diperbincangkan mengenai perkara ini, tetapi memandangkan ruang yang terhad, cukuplah sekadar kita mengulas hujah-hujah di atas. Berikut merupakan pandangan Sisters In Islam terhadap kontroversi Amina Wadud yg diambil daripada website Sisters In Islam sendiri, antaranya: (Sisters In Islam. 2005)
1. Adakah konsep perempuan mengimami solat jamaah yang terdiri lelaki dan perempuan itu bertentangan dengan Al-Qur'an dan Sunnah serta tidak pernah berlaku langsung dalam sejarah Islam?
·         Yang nyata, tiada ayat Al-Qur'an yang melarang perempuan menjadi imam solat yang jamaahnya terdiri dari lelaki dan perempuan. Kesemua ulama klasik dan ulama masakini secara majoritinya bersetuju tentang perkara ini.
·         Yang menjadi titik perbezaan pendapat adalah dari sumber hadith, khususnya :
·         Terdapat hadith yang meriwayatkan Nabi Muhammad s.a.w. telah melantik seorang perempuan Ansar bernama Ummu Waraqah binti Abdullah, untuk mengimamkan solat yang jamaahnya terdiri dari lelaki dan perempuan. (hadith ini telah dicatat dalam kitab Sunan Abu Daud, Musnad Imam Ahmad ibn Hanbal, al-Hakim, ibnu al-Jarud, ibn Khuzaimah, al-Bayhaqi, al-Tabarani dan al-Daraqutni)
·         Sesetengah ulama yang mengambil pendirian melarang perempuan menjadi imam sembahyang menyandarkan pendapat mereka pada hadith yand diriwayatkan oleh Ibnu Majah yang bersumber dari Jabir yang maksudnya : "Janganlah sekali-kali perempuan mengimami lelaki, Arab Badui mengimami Muhajjir dan orang berdosa mengimami mukmin yang baik". Sesungguhnya Imam Nawawi telah menggolongkan hadith ini sebagai hadith dha'if ataupun lemah dan tidak boleh dipakai.
Dalam sejarah Islam juga telah tercatat bahawa:
·         Pada tahun 699M/77H, seorang perempuan Khawarij bernama Ghazala juga pernah menjadi imam solat kepada askar-askar lelaki di Kufa dan telah membaca dua surah terpanjang dalam solat tersebut. Ada beberapa ulama klasik yang enggan mengikitiraf peristiwa ini dengan alasan Ghazala dari kaum Khawarij. Namun, haruslah diingat bahawa Khawarij dianggap pelampau kerana mereka terlalu berpegang pada ajaran Al-Qur'an secara harfiah dan enggan berijtihad dalam penafsiran agama, dan bukan kerana mereka tidak percaya Al-Qur'an dan sunnah Nabi. (sila rujuk al-Tabari, kitab Tarikh al-Rusul wa'l Muluk, Kaherah, Bab 51 ms 80, Abu al Hassan Ali Masudi (Muruj al-Thahab, Dar al-Andalus, Beirut 1965, bab 3 ms 139)
·         Khalifah Walid II dari Bani Umayyah telah mewatikahkan serban baginda kepada seorang perempuan di masjid Damsyik dan menitahkan perempuan itu untuk mengimamkan sembahyang Jumaat. Kisah ini tersebut dalam sejarah Damsyik dan telah dipetik oleh beberapa ulama Islam. (Justice Syed Ameer Ali, Short History of Saraceans Page No. 196).
Maka, ternyata sejarah imam perempuan ini memang telah berlaku dan tercatat dalam dunia Islam hanya ia tidak pernah diketengahkan atau dihebahkan.
2. Benarkah kesemua ulama muktabar bersepakat tidak membenarkan perempuan menjadi imam kepada jamaah lelaki dan perempuan?
Adalah tidak benar sama sekali tanggapan yang mengatakan kesemua ulama muktabar bersepakat mengatakan perempuan tidak boleh menjadi imam sembahyang lelaki dan perempuan.
Antara ulama-ulama yang menerima konsep perempuan mengimamkan jamaah lelaki dan perempuan termasuklah Imam Ibnu Jarir al-Thabari (seorang mujtahid terkenal), Abu Thawr Ibrahim ibnu Khalid ibnu Abi al-Yaman al-Kalbi, Abu Isma'il ibnu Yahya al-Mazeni yang semuanya pengikut mazhab Shafi'e , Ibnu Arabi (mazhab Zahiri), Ibnu Taimiyah dan Imam Hanbali.
Ada antara ulama-ulama tersebut, seperti Imam Hanbali, hanya membenarkan perempuan menjadi imam sembahyang bagi jemaah lelaki dan perempuan untuk sembahyang tarawih sahaja. Namun, apa yang nyata, ia tetap membuktikan bahawa Islam (melalui Al-Qur'an dan sunnah Nabi Muhammad s.a.w) tidak menolak konsep perempuan menjadi imam solat jamaah lelaki dan perempuan.
Sesetengah ulama seperti Ibnu Taymiyyah, hanya meletakkan syarat bahawa imam perempuan itu hendaklah fasih Al-Qur'an, tetapi syarat sedemikian juga digunapakai untuk imam lelaki. Yang jelas, faktor jantina perempuan itu sendiri tidak dipertikaikan, tetapi yang menjadi faktor adalah samada perempuan itu berilmu atau tidak. Maka telah terbukti ada ulama Islam yang boleh menerima konsep perempuan menjadi imam sembahyang kepada jamaah yang terdiri dari lelaki dan perempuan.
3. Begitu mudahkah makmum lelaki terangsang nafsunya dan hilang khusyuk jika berimamkan seorang perempuan?
Hujah yang mengatakan kaum lelaki akan terdorong nafsu lalu tidak khusyu' sembahyang jika perempuan yang mengimamkan sembahyang mungkin merupakan hujah yang paling popular sekali. Kaum lelaki, terutamanya para Muslimin, tentunya dan seharusnya merasa terhina dengan tuduhan sebegini kerana seolah-olah mereka adalah haiwan yang langusung tidak dapat mengawal nafsunya. Sekiranya para Muslimah masih boleh khusyu' sembahyangnya walau berimamkan orang lelaki, mengapa pula orang lelaki dianggap begitu rapuh dan goyah sekali imannya? Sesungguhnya kaum perempuan juga mempunyai nafsu dan Al-Qur'an sendiri menceritakan bagaimana ramai perempuan termasuk Zulaikha begitu tergoda dengan ketampanan Nabi Yusuf a.s. sehingga lupa diri.
Jika kita renungkan, jamaah haji bersembahyang bercampur lelaki dan perempuan malah ada kalanya bersentuh bahu akibat ruang yang sesak, namun tiada yang gusar yang mereka tidak boleh khusyu' semasa sembahyang atau semasa mengerjakan ibadah haji.
Dalam hal solat jamaah yang diimami oleh Aminah Wadud itu sendiri, kesemua makmum lelakinya tiada membuat sebarang aduan mengatakan mereka tidak dapat khusyu' dan nafsu mereka timbul akibat berimamkan perempuan. Sejarah juga menceritakan bagaimana Sayidina Umar r.a. tidak sedar anak panah yang terbenam di kakinya telah ditarik keluar ketika beliau khusyu' mengerjakan solat. Adapun khusyu'nya solat itu bermula dari hati yang bersih dan penumpuan dalam ibadah.
Apa yang pasti, konsep imam perempuan bagi jamaah lelaki dan perempuan ini memang telah wujud dalam sejarah Islam dan bukannya tercetus hasil apa yang dihebohkan sebagai pengaruh gerakan feminis barat. Masyarakat Islam tidak harus mengambil sikap tertutup seolah-olah tidak ada ruang lagi dalam Islam untuk mempertimbangkannya. Kita semua sesungguhnya bertanggungjawab menyambung dan merealitikan amanah perjuangan Nabi s.a.w yang memartabatkan hak-hak dan kedudukan kaum perempuan.
5.      KONSEP IMAM DAN JAWAPAN TERHADAP KONTROVERSI AMINA WADUD
Isu utama dalam tindak tanduk terbaru Amina Wadud ialah menjadi imam sembahyang Jumaat, membaca khutbah dan setiap saf-saf sembahyang Jumaat itu bercampur aduk lelaki dan wanita. Tindakan Amina Wadud menjadi wanita Islam pertama di dunia menjadi imam sembahyang Jumaat dan membaca khutbah menerima kecaman ulama di seluruh dunia, antaranya Syeikh Yusuf al-Qardhawi.
Menurut Syeikh Yusuf al-Qardhawi, fuqaha bersependapat wanita diharamkan menjadi imam sembahyang Jumaat dan membaca khutbah. Pendapat ini berdasarkan pengajaran dan bukan berdasarkan adat sesuatu kaum seperti mana yang didakwa, ketika memberi ulasan lanjut kepada agensi berita Islam Online tentang wanita diharamkan menjadi imam sembahyang kepada makmum lelaki ialah: (Ghafani Awang Che. 2005.)
Tidak pernah terjadi dalam sejarah Islam seorang wanita menjadi imam solat Jumaat dan membaca khutbah, Tidak ada seorang Fuqaha pun bersetuju membenarkan wanita menjadi imam solat Jumaat dan membaca khutbahnya.
Sembahyang dalam Islam membabitkan perbuatan pelbagai pergerakan zahir dan batin. Ia tidak mengandungi semata-mata upacara keagamaan serta tidak bercampur aduk antara lelaki dan wanita. Ibadah sembahyang dalam Islam memerlukan tumpuan penuh minda, perasaan dan penyerahan hati khusyuk kepada Allah swt.
Islam menggariskan beberapa peraturan untuk menentukan umatnya beribadah kepada Allah swt secara tertib dan beradab bagi mencapai kekhusyukan dalam menunaikan ibadah kepada Allah. Selari dengan kehebatan ibadah sembahyang, maka Islam menetapkan beberapa garis panduan dalam melaksanakannya.
Dalam peraturan menunaikan sembahyang berjemaah lelaki dan perempuan Rasulullah bersabda: “Sebaik-baik saf bagi lelaki ialah saf yang pertama dan seburuk-buruknya saf yang terakhir manakala sebaik-baik saf bagi wanita ialah saf yang paling belakang dan seburuk-buruknya adalah saf yang pertama.” - (Riwayat: Muslim).
Hadis ini adalah hadis sahih. Ini adalah peraturan dan disiplin sembahyang berjemaah dalam beribadah kepada Allah. Islam membenarkan wanita menjadi imam kepada makmum wanita saja. Beberapa hadis yang diriwayatkan oleh al-Baihaqi dan Darqatani menyatakan Aisyah dan Ummu Salamah (isteri-isteri Rasulullah) menjadi imam kepada jemaah wanita saja. Tempat duduk bagi imam wanita pula adalah dalam saf yang pertama sebaris dengan makmum, tidak terkedepan seperti mana peraturan kedudukan imam lelaki. Tidak ada hadis yang menyebut langsung mengenai wanita boleh menjadi imam sembahyang Jumaat dan membaca khutbah. (Ghafani Awang Che. 2005.)
Islam memberi persamaan hak berdasarkan keadilan kepada lelaki dan perempuan. Peraturan pengasingan lelaki dengan wanita dalam ibadah sembahyang menunjukkan Islam adalah agama yang tersusun dan bersistem. Ia sebenarnya memberi kebaikan dan kesejahteraan kepada semua pihak. Mereka menunaikan sembahyang untuk mencapai kekhusyukan sepenuh dan diredai Allah swt. Tindakan kontroversi seorang wanita menjadi imam sembahyang Jumaat dan membaca khutbah jelas sekali tidak mengambil kira ketinggian martabat dan kehebatan hakikat sembahyang itu. Menurut hadis yang bermaksud :
Perempuan jangan menjadi imam kepada seorang lelaki”. (Riwayat Ibn Majah 1081)
Apabila menjadi imam seorang wanita kepada kumpulan lelaki , wanita  dan kanak-kanak lelaki nescaya solat perempuan tadi sah dan memadai, manakala solat kumpulan lelaki dan kanak-kanak lelaki tidak sah dan  tidak memadai kerana Allah menjadikan lelaki pemimpin bagi kaum wanita. Pendapat ini juga tidak lari daripada pendapat imam al-Nawawi . Menurut beliau , tidak sah imam perempuan dan khunsa kepada lelaki sama ada solat fardhu atau sunat. (Al-Imam al-Syafie. 1993, hal  292.)

Pendapat yang mengatakan wanita layak menjdai imam sembahyang adalah tidak kuat . Ini adalah kerana ia tidak pernah berlaku di zaman Rasululullah, sahabat dan tabiin. Oleh itu, apa yang diamalkan itu adalah bid’ah. Selain itu , ulama dalam lapan mazhab Islam yang diiktiraf sepakat tidak membenarkan wanita menjadi imam solah fardhu kepada jamaah lelaki yang ajnabi kerana tiada nas yang sahih menyokong perbuatan tersebut. Pendapat Imam Muzani dan Abu Thaur yang mengharuskan wanita mengimami lelaki adalah lemah. Selain itu, didapati Dr. Amina Wadud, mendirikan solat Jumaat itu bukan untuk keredhaan Allah tetapi hanya untuk membuktikan persamaan hak gender.

Niat yang tidak betul sewaktu menghadap Allah , tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada mereka yang beribadah . Niat beribadat untuk mencari keredhaan Allah sudah tentu jauh lebih baik daripada beribadat untuk mencari kesamarataan gender. Sesuatu ibadat dengan niat yang menyeleweng sudah tentu tiada pahala malah dikhuatiri dibalas dengan dosa bid’ah yang akan menjerumuskan mereka  ke dalam neraka. Kerana  inilah kita dapati para sahabat nabi generasi sesudah mereka menolak setiap yang menyalahi sunnah yang sahih dan kadang-ladang mereka bersikap keras dalam penolakan itu , bukanlah disebabkan mereka memarahinya , malah disebabkan jiwa mereka kasih kepada kebesaran sunnah dan nabi mereka. (Muhammad Naasiruddin al Baani , Penterjemah Abdullah Al-Qari bin Hj. Salleh . 19995, hal  11.)

Tindakannya itu hanya mengundang perpecahan . Sepatutnya mereka memperjuangkan isu-isu pokok seperti penderitaan wanita di Palestin. Mereka jua seharusnya celik mata dalam isu-isu seperti pelacuran zina dan keruntuhan rumahtangga yang sepatutnya diambil perhatian. Hukum yang sedia ada dan diamalkan ribuan tahun di dalam agama kita , bahawa wanita hanya boleh mengimamkan sembahyang jemaah wanita atau kanak-kanak , tidaklah seharusnya berubah dengan mudah hanya semata-mata kerana perbuatan beberapa orang wanita yang membuat tafsiran sendiri tentang ajaran agama khususnya dalam ibadat itu. ( Ismail Ibrahim.  Ahad , 3 April 2005.)

Amalan ibadat kita mestilah kerana ketaqwaan kepada Allah dan bukan kerana menonjolkan persamaan gender. Bagi Allah , segala pembahagian gender , kaum , puak dan sebagainya tidak mempunyai makna dan kepentingan kepada Allah tetapi yang penting ialah sifat taqwa kepada Allah . Ini dapat dilihat dalam firman Allah yang bermaksud :

Wahai manusia , sesungguhnya telah kami jadikan kamu lelaki dan perempuan dan kami ciptakan berbagai-bagai kaum dan puak supaya kamu dapat berkenal-
kenalan. Sesungguhnya golongan yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah golongan yang paling bertaqwa.
(Surah  al-Hujurat ayat 13)
Seharusnya mereka sedar bahawa sekiranya ada keharusan untuk melakukan yang demikian , pasti yang paling layak melakukannya terlebih dahulu ialah para ummahat al-Mukminin isteri-isteri baginda Rasululullah . Di antara mereka ada yang pakar ilmu fiqh iaitu Aisyah .Namun begitu tidak tercatat dalam sejarah Islam adanya mereka melakukan demikian .

Berusaha melanggar disiplin ilmu yang dipegang oleh ulama dan fuqaha yang menjadi benteng kekuatan pegangan nilai umat Islam. Jika usaha ini berjaya maka peranan ulama dan fuqaha dalam mempertahankan nilai Islam akan terhakis. Dengar datangnya sesuatu peristiwa baru, umat Islam hendaklah berfikir secara terbuka sebelum menerimanya. Ia juga hendaklah dinilai dan diselidiki dengan ilmu dan panduan yang jelas sebelum mengikutinya. Firman Allah swt di dalam surah al-Hujuraat ayat 6 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang telah kamu lakukan.

6.0  KESIMPULAN

Sebagai kesimpulannya,jika diselidiki keperibadian Aminah Wadud itu sendiri membuatkan kita kagum dengan ilmu dan pencapaian akademiknya. Namun, masyarakat Islam tidak harus mengambil sikap tertutup seolah-olah tidak ada ruang lagi dalam Islam untuk mempertimbangkan hak-hak wanita. Kita semua mesti bertanggungjawab menyambung dan merealisasikan amanah perjuangan Nabi S.A.W yang memartabatkan hak-hak dan kedudukan wanita. Sikap mengambil sesuatu maklumat dan terus mempercayai tanpa ilmu pengetahuan akan menyebabkan maruah Islam itu sendiri luntur akibat kelemahan umat Islam itu sendiri.
Kejayaan golongan sesat SIS mempengaruhi fikiran masyarakat Islam telah membuka minda para cendekiawan Islam untuk menepis segala hujah-hujah yang di lontarkan demi untuk mempertahankan golongan feminism ini dan seterusnya menghalang golongan liberalism ini terus menular dalam kehidupan masyarakat Islam, khusunya di Malaysia sendiri. Keceluparan Amina yang menyentuh soal akidah membuatkan 20 perwakilan yang kebanyakannya dari Afrika, termasuk juga dari Malaysia dan United Kingdom menentang keras kertas kerja Amina dan mendesak pengerusi persidangan menolak kertas kerjanya bahkan menolak beliau daripada menyertai persidangan tersebut. Ini cukup jelas menggambarkan bahawa masyarakat dunia Islam menolak ideologi liberalisme beliau ini yang terus terang bercanggah daripada ajaran Islam yang sebenar.
            Akhir kata, semoga Allah memberi petunjuk serta keampunan kepada mereka yang telah sesat agar dapat kembali kepada jalan yang benar. Neraka itu amat panas, dan tidak terdaya untuk kita menahan kepanasannya. Sekiranya sebesar titik jarum terbuka, apinya mampu membakar seluruh alam ini. Hukum al-Quran tidak boleh di pertikaikan oleh manusia walau dalam apa keadaan sekalipun.



RUJUKAN

Al-Qur’an Resam Uthmani.
Abd. Rahim Abd. Rasyid. 1998. Gerakan Feminisme di Malaysia – Antara Idealisme Dengan
Matlamat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Ahmad Baharuddin. 2007. Menjadi Survival Dalam Dunia  Penuh Cabaran. Kuala Lumpur :
PTS Millennia Sdn Bhd.
al-Syafie, Al-Imam. 1993.  Al-Umm.  Cet. 1. Mesir : Maktabah Dar al-Baz dan Dar al-Kutub
Ilmiah.
Curtis, Edward. 2010. Encyclopedia of Muslim-American History. New York : Infobase 
Publishing.
Ghafani Awang Che. 2005. Suara JAKIM : Agenda Amina Wadud persenda hukum Islam.
Mac 2005 ]
. Ismail Ibrahim. 2005. Mingguan Malaysia , Ruangan Cetusan Pemikiran oleh Dato Dr. Ismail
Ibrahim(Ahad, 3 April 2005.)
Jabatan Agama Islam Selangor. 2005. Sister In Islam: Wajah Gerakan Liberalisme Di
            Malaysia?. Jurnal
Mohd Asri Zainul Abidin. 2008. Mengemudi Bahtera Perubahan Minda. Kuala Lumpur : Utusan
Publications & Distributors Sdn Bhd.
Muhammad Naasiruddin al-Baani,. 1995. Contoh Sembahyang Rasulullah . Tej.  Abdullah al-
Qari bin Hj. Salleh.  Kuala Lumpur : Dinie  Publishers.
Muhammad, K.H. Husien. 2004. Fiqh Wanita. Selangor : Sisters In Islam (SIS).

Sisters In Islam. 2005. Benarkah Islam Melarang Perempuan Menjadi Imam Bagi Jamaah Yang
            Terdiri Dari Lelaki Dan Perempuan? http://www.sistersinislam.org.my/news.php?item.
967.40 [ April 2005]
Sisters In Islam. 2005. Pengenalan Sisters In Islam (SIS). http://www.sistersinislam.org.my/BM/
pengenalan.htm [ Januari 2005]
Zulkifli Mohd al-Bakri, Mohd Khairudin. 2005. Hukum Wanita Menjadi Imam : Kontroversi  
            Solat Jumaat Dr. Amina Wadud. Kajang : Darul Fuqaha.


No comments:

Post a Comment