Tuesday, April 5, 2011

SYAFAAT MENURUT MUKTAZILAH


1.      Pendahuluan


Muktazilah merupakan salah satu daripada aliran dalam teologi Islam yang bersifat rasional dan terbuka. Ciri utama yang membezakan aliran ini daripada aliran yang lain seperti ahli sunnah ialah aliran ini menggunakan dalil-dalil akliah yang lebih bersifat menjurus kepada rasional akal yang boleh didapati dalam banyak dalil yang dikeluarkannya dan juga mempunyai unsur kefalsafahan. Aliran ini mempunyai lima asas ajaran yang menjadi asas kepada cara pemikiran mereka.
Asas yang pertama ialah ketauhidan Allah, kedua keadilan Allah, ketiga janji dan ancaman, keempat kedudukan diantara kedudukan ( yang membicarakan mengenai pelaku dosa besar) dan yang terakhir ialah amar makruf dan nahi mungkar ( membicarakan tuntutan membuat baik dan meninggalkan perkara yang mungkar ia lebih banyak menerangkan hukum fiqh).

Pendapat ahli Sunnah Waljamaah kepada mereka ialah, sebahagian ulama berpendapat bahawa permulaan atau asas muktazilah adalah untuk mempertahankan Islam daripada ancaman pihak musuhnya. Akan tetapi kesudahannya, mereka ini bersikap taasub kepada mazhab ini sehingga mencapai darjat taasub yang kritikal. Mereka juga telah banyak merosakkan hukum-hukum syariah Islam dan telah mereka hukum dengan pendapat mereka bahkan menjadikan hukum-hukum itu sebagai panduan mereka. Sebagai rumusan, boleh dikatakan bahawa pengikut Muktazilah ini ialah golongan yang banyak menggunakan hujah dan dalil akal berbanding dalil -dalil yang lain seperti qiyas dan usul-usul yang lain.


2.      Sejarah Perkembangan

Muktazilah ialah aliran sebuah kumpulan Islam yang banyak menggunakan dalil -dalil, hujah akal dalam usul agama dan kiasan hukum yang lain. Aliran pemikiran ini wujud sejak zaman pemerintahan Kerajaan Abasiyyah. Pemikiran Muktazilah mula bertapak pada kurun kelapan Masehi (abad kedua hijrah) di Basrah, Iraq, apabila Wasil ibn Ata meninggalkan kelas pembelajaran Hasan al-Basri selepas berselisih faham mengenai isu pelaku dosa besar. Ketika Imam Al-Hasan sedang mengajar datangseorang lelaki bertanyakan tentang hukum melakukan dosa besar adakah menjadi kufur atau sebaliknya.Belum sempat beliau menjawab tiba-tiba bangun salah seorang anak muridnya iaitu Wasil lalu berkata: "Tidak aku berpendapat bahawa mereka itu mukmin sejati dan tidak juga kafir secara mutlak bahkan mereka itu berada di antara dua tempat (iaitu antara iman dan kufur).Lantaran itu,Imam Al-Hasan berkatakepadanya: "asinglah diri kamu dari kami wahai Wasil".
Ekoran daripada peristiwa itu dia dan pengikutnya dipanggil golongan muktazilah.Kadang kala golongan ini dipanggil puak Al- Qadariah dan kadang kala dipanggil puak Al-Mua'ttilah.Pada asalnya golongan ini sebenarnya memang kuat mempertahankanakidah Islam tetapi mereka lebih menggunakan mantik akal daripada dalil naqli (Al-Qurandan Hadis). Mereka memerangi golongan batiniah (syiah), yahudi, nasrani dan kumpulan-kumpulan yang sesat.Di ceritakan bahawa Abu Al-Huzail Al-'Allaf (135-226H) salah seorang syeikh Muktazilah di Basrah telah mengislamkan seramai tiga ribu orang majusi dengan cara berdebat dan berbincang.Walaupun begitu mereka tersilap langkah denganmenghujum Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan senjata yang sama yang pernah digunakan untuk memerangi golongan yang menyeleweng dari Islam.
Dalam tempoh yang singkat sahaja pengaruh fahaman golongan ini berkembang begitu cepat dan mempunyai pengaruh yang besar sehinggakan Yazid bin Al-Walid(125 - 126H* tahun memerintah) dan Marwan bin Muhammad dari pemerintah kerajaanUmawiyyah dan Al-Makmun bin Harun Al-Rasyid (198 - 218H) , Al-Muktasim binHarun Al-Rasyid (218 - 227 H) dan Al-Wasiq bin Al-Mu'tasim (227 - 232 H) darikerajaan Abbasiyyah telah menjadikannya sebagai pegangan rasmi dalam negara dankerajaan.Bahkan mereka ini menggunakan kekerasan bagi sesiapa yang tidak sehaluandengan mereka seperti yang berlaku terhadap Imam Buwaiti pengganti Imam al-Syafeiyang dihukum bunuh dan Imam Ahmad bin Hanbal r.a yang dipenjara dan diseksa,bertegas mengatakan bahawa Al-quran itu adalah kalam Allah dan bukannya makhluk seperti yang didakwa oleh golongan muktazilah.
 Beliau dan pengikutnya termasuk Amr ibn Ubayd kemudiannya dilabelkan sebagai Muktazili/Mu'tazili. Golongan ini juga menggelar diri mereka sebagai Ahl al-Tawhid wa al-'Adl (golongan tauhid dan keadilan Tuhan) berdasarkan ideologi yang mereka perjuangkan di antaranya mahukan sistem Islam yang berdasarkan akal. Mereka juga dilabel sebagai golongan free will dan free act, kerana mereka berpegang kepada prinsip kebebasan melakukan sesuatu.
Ketika pertama kali muncul, pemikiran Muktazilah tidak mendapat simpati umat Islam, terutama di kalangan masyarakat awam kerana mereka tidak begitu memahami ajaran Muktazilah yang bersifat rasional dan sarat dengan falsafah. Alasan lain mengapa pemikiran ini kurang mendapat sokongan umat Islam pada saat itu adalah kerana pemikiran ini dianggap tidak selari dengan sunnah Rasulullah SAW dan para sahabat Muktazilah bergantung kepada beberapa aspek pemikiran dari falsafah Islam, Greek dan Helenistik.
Aliran Muktazilah berkembang di kalangan golongan intelek semasa pemerintahan Khalifah al-Ma'mun dari dinasti Abbasiyah (198-218 H/813-833 M). Kedudukan Muktazilah semakin kukuh setelah Khalifah al Ma'mun menjadikannya sebagai mazhab rasmi negara. Dikatakan Khalifah al Ma'mun sejak kecilnya sudah dididik dalam tradisi Yunani yang gemar dengan falsafah dan ilmu pengetahuan.
Dan pada zaman itulah golongan muktazilah memaksakan pemikirannya yang dikenal dalam sejarah dengan peristiwa Mihnah (fahaman bahawa al-Quran itu makhluk Allah, jadi tidak qadim. Jika al-Quran dikatakan qadim, maka akan timbul kesimpulan bahawa ada yang qadim selain Allah)




3.      Konsep dan Asas Ajaran Muktazilah

3.1.   Al-Tauhid

Muktazilah percaya kepada Tauhid iaitu Tuhan itu satu. Mereka berbeza dari majoriti Muslim dalam menerangkan tentang konsep Tauhid supaya selari dengan wahyu dan akal. Contohnya majoriti mazhab dalam Islam menghadapi kesulitan dalam menerangkan sifat Tuhan tanpa menyamakanNya dengan perwatakan manusia (anthropomorphic) atau tidak menerangkan langsung maksud tersebut seperti yang tertulis dalam wahyu. Muktazilah mengatakan sifat Tuhan adalah tidak berbeza dari zatNya. Dengan kata lain, Tuhan itu Maha Mengetahui, tetapi Tuhan itu Maha Mengetahui kerana zatNya bukannya kerana Ia mempunyai pengetahuan yang terasing dari diriNya. Konsep Tauhid ini diterangkan dalam hasil kerja cendekiawan Muktazilah, hakim agung Abd al-Jabbar ibn Ahmad.

al-Qur'an ialah makhluk. Mu¶tazilah mengambil pendirian mengatakan al-Quran adalah makhluk berpunca daripada masalah sifat yang dibincangkan tadi. Bagi Mu¶tazilah mereka bersepakat mengatakan bahawa kalam Allah adalah baharu. Adalah berdasarkan kepada pendapat mereka dalam masalah sifat Allah, kerana mereka tidak menerima adanya sifat yang qadim yang selain dari zat, mereka maksudkan dengan sifat ialah µain zat itu sendiri ,bukan yang lain dari zat Allah. Tuhan di alam akhirat kelak tak terlihat mata manusia. Yang terjangkau mata manusia bukanlah Ia. Mereka berdalil dengan firman Allah Ta’ala:
                               "
قال رب أرنى أنظر إليك قال لن ترانى"


maksudnya : Maka Nabi Musa berkata: Wahai Tuhan ku perlihatkanlah kepadaku zat Mu yang Maha Suci supaya aku dapat memandang kepada Mu, Allah menjawab: Engkau tidak sekali-kali dapat melihat-Ku

Mereka menafikan penglihatan itu berdasarkan kepada tafsiran mereka akan perkataan “لن” yang menafikan masa sekarang dan akan datang.

3.2.    Al-'Adl ( العدل) - Keadilan Tuhan

Dalam menghadapi masalah kewujudan kejahatan di dunia, Muktazilah percaya kepada free will (kebebasan manusia). Kejahatan dilihat sebagai sesuatu yang berlaku kerana kesalahan manusia dalam melakukan sesuatu. Muktazilah tidak menafikan kewujudan kezaliman ke atas manusia kerana ini terjadi disebabkan manusia itu menyalah gunakan free will (kebebasan) yang diberi Tuhan. Dalam menerangkan hal ini, Muktazilah bergantung kepada doktrin taklif - iaitu hidup ini adalah ujian Tuhan kepada manusia yang diberikan akal fikiran untuk memilih yang baik dan buruk.

Pada hari Kiamat nanti, mereka akan dihukum Tuhan atas segala nikmat yang mereka perolehi dan tanggungjawab yang diamanahkan semasa mereka di dunia. Sekiranya mereka ini menyalah gunakan akal fikiran yang diberi Tuhan, mereka akan dihukum di neraka. Ini kerana Tuhan telah bersikap adil dalam menjelaskan jalan yang lurus dan jalan yang sesat dalam kitab suciNya.

Kesan daripada prinsip al-a’dl ini dapat dilihat dalam pemikiran Mu’tazilah seperti :
·         Al-Tahsin wal Taqbih
Al-Tahsin wa al-taqbih oleh akal bermaksud akal mempunyai kemampuan mengetahui baik
dan buruk dalam setiap perkara. Akal merupakan anugerah dan ciptaan Allah kepada manusia. Jika akal tidak dapat membezakan baik dan buruk nescaya sia-sialah ciptaan Allah ,yang demikian itu mustahil bagi Allah yang bersifat sempurna. 
·                  Al-Solah wal Aslah

Wajib keatas Allah melakukan al-lutf wal solah iaitu melakukan apa yang membuatkan hambanya melakukan ketaatan dan menjauhkan mereka daripada maksiat dalam keadaan tidak sampai kepada tahap terpaksa (al-Shafie¶,Hassan:1991:99). Mereka bersepakat mengatakana al-hakim yang maha bijaksana tidak akan melakukan sesuatu kecuali untuk kebaikkan dan tujuan kemaslahatan dan kepentingan hambanya (Sharustani :39)

·                  Af-‘alul  ‘ibad

Manusia bebas dalam menentukan segala perbuatannya tanpa campur tangan daripada Allah
(Jarullah,Zuhdi:1973:94). Mereka mengingkari bahawa Allah taala yang menjadikan segala
perbuatan hamba-hambanya .Ini kerana mereka merasakan bahawa perkara tersebut
menafikan dan menidakkan perbuatan-perbuatan buruk daripada Allah. Ini juga menyebabkan
manusia itu layak menerima ganjaran atas kebaikan yang dilakukan dan menerima balasan
atas kejahatan yang dilakukan (Sharustani:39)



3.3.         Al-Wa'd wa al-Wa'id ( الوعد و الوعيد )- Janji dan amaran

Mereka berpendapat Tuhan tidak akan mungkir janji iaitu memberi pahala pada muslimin yang baik dan memberi azab seksa pada muslimin yang jahat pada hari Kiamat nanti. Asul yang ketiga ini mempunyai kaitan dengan usul yang kedua iaitu al-a’dl,al-wa’d dan al-wa’id adalah perlaksanaan kepada konsep keadilan tuhan. Al-wa’id adalah janji baik keatas perbuatan baik manusia manakalaa al-wa’id adalah janji buruk keatas perbuatan maksiat manusia (Badawi,Abd Rahman:1966:62).

Berkata Qadhi Abd al-Jabbar janji balasan baik dan jahat itu ialah Allah telah menjanjikan orang-oranga taat dengan pahala dan mejanjikan orang-orang derhaka dengan balasan dosa. Allah tetap berpegang pada janjinya, tidak harus baginya menyalahi dan berbohong dengan janjinya. Mereka berpegang kepada usul ini kerana terdapat banyak Al-Quran yang menceritakan hal ini. Kesan daripada pegangan ini golongan Mu’tazilah telah mewajibkan keatas Allah sesuatu perkara .Namun bagi meraka, Allah tidak sekali-kali memungkiri janji kerana memungkari janji adalah sesuatu yang mustahil bagi Allah (as-Shafie,Hassan:1991:100). Daripada usul ini juga mereka menolak syafaat.




3.4.         Al-Manzilah bayna al-Manzilatayn ( المنزلة بين المنزلتين)- Satu Tempat Dia antara Dua Tempat



Pendapat ini dicetuskan Wasil ibn Ata yang membuatnya berpisah dari gurunya Hasan al-Basri, bahwa mukmin berdosa besar dan tidak bertaubat, dia bukan mukmin (beriman) tetapi juga bukan kafir (tidak beriman), statusnya boleh dipanggil fasik. Mereka ini boleh dikebumikan sebagai Muslim, didoakan dan mengahwini Muslim. Hanya Tuhan yang akan menentukan di neraka mana mereka ditempatkan kerana neraka itu mempunyai banyak tingkat untuk semua golongan.

Golongan Khawarij mengatakan orang yang melakukan dosa besar adalah termasuk didalam orang-orang kuffar dan musyrik. Bagi sebahagian Murjiah mengatakan mereka adalah orang yang beriman kerana masih megaku beriman dengan Allah,rasul-rasul dan kitab .Maka dengan sebab ini Mu¶tazilah mengambil pendirian pertengahan mengatakan bahawa orang yang melakukan dosa besar itu tidaklah mukmin atau kafir tetapi berada dalam suatu keadaan antara dua kedudukan (al-Nasyaar :438).

3.5.         Al-amr bil ma'ruf wa al-nahy 'an al munkar ( الأمر بالمعروف و النهي عن المنكر) - Menyeru Kebaikan Dan Melarang Kemungkaran.

Menyeru kebaikan terdapat dua jenis, satu yang wajib seperti tanggangjawab agama (al-faraid) apabila seseorang meninggalkannya (dayya'aha) dan yang sunat (al-nafila) apabila seseorang meninggalkannya (tarakaha). Dan bagi melarang kemungkaran, ia wajib kerana kemungkaran itu adalah salah (qabih). Jika boleh, melarang kemungkaran itu mestilah jalan yang tidak menyusahkan atau menjadikan kemungkaran itu tidak begitu teruk, dengan matlamat supaya kemungkaran itu tidak berlaku langsung.

           Al-Makruf mengikut takrif Mu¶tazilah ialah setiap perbuatan yang dilakukan oleh sesorang yang mana dia mengetahui bahawa perbuatan tersebut adalah baik ataupun seseorang yang mengajak kearah kebaikan .Adapun al -munkar ialah setiap perbuatan yang dilakukan oleh seseorang itu yang mana dia mengetahui bahawa perbuatan tersebut adalah maksiat                  (al-Mu’tiq:2001:440) . Menyeru kepada ma¶ruf dan mencegah daripada kemungkaran merupaka hukum amali dan politik yang diangkat oleh Mu¶tazilah menjadi usul akidah.Di awal kemunculan Mu¶tazilah cuba mewajibkan orang Islam supaya keluar menentang pemerintah yang zalim walaupun terpakssa menggunakan senjata (as-Shafie,Hassan:1991:100)



4.                    Syafaat Akhirat Menurut Golongan Muktazilah

  Syafaat menurut bahasa berarti pertolongan atau bantuan. Menurut istilah berarti pertolongan yang diberikan oleh seseorang kepada orang lain yang mengharapkan pertolongannya. Syafaat juga berarti usaha dalam memberikan suatu manfaat bagi orang lain atau mengelakkan suatu mudharat bagi orang lain itu. Di kalangan sufi, syafaat itu dapat diberikan di dunia dan di akhirat. Syafaat di dunia dapat berbentuk lahiriah dan dapat juga berbentuk rohaniah. Atau berbentuk do’a dari Rasul, ulama, wali atau syuhada.


  Bagi golongan Muktazilah syafaat kepada manusia pada hari akhirat,  mereka menolak adanya syafaat., baik syafaat kubra maupun syafaat sughra. Menurut mereka, orang yang berdosa akan kekal di dalam neraka. Mereka berdalilkan kepada ayat al-Quran, Surah al-zumar:44 قل لله الشفعة جميعا Katakanlah bagi Allah itu syafaat seluruhnya atau boleh juga diterjemahkan bahawa seluruh syafaat itu adalah milik Allah seluruhnya. Berdasarkan ayat ini mereka menyangkal bahawa wujudnya syafaat dari Rasulullah (s.a.w.) dan hanya Allah sahaja yang dapat memberi syafa'at. Mereka yang memohon syafa'at dari Rasulullah adalah melakukan syirik kepada Allah kerana memohon pertolongan makhluk.

  Secara prinsipnya semememangnya golongan Muktazilah menolak dan tidak mempercayai adanya syafaat Allah pada pada hari akhirat kelak. Bahkan ,mereka juga menolak hadis yang menunjukkan keberadaannya, Mereka mentakwil ayat-ayat al-Qur’an yang berhubungan dengan syafaat ini. Menurut mereka, syafaat di hari akhirat hanya akan diperuntukkan bagi orang yang taat dan orang yang soleh bertaubat. Syafaat ini hanya sebagai tambahan pahala dan hanya dapat menaikkan darjat di akhirat dan tidak lebih dari itu. (Yusuf al-Qardhawi,2002, hlm 297).

   Muktazilah  berpendapat bahwa azab atas mereka tidak seperti azab atas orang kafir. Pelaku dosa besar azabnya lebih ringan dibanding orang kafir, dan mereka tidak akan mendapatkan syafaat untuk dapat keluar dari neraka. Selain itu, mereka menegaskan bahawa Tuhan mempunyai keadilan terhadap hamba-Nya. Oleh itu, Tuhan tidak boleh bertindak tidak adil dan dengan itu Tuhan tidak boleh menghukum orang yang membuat baik dan memaafkan orang yang telah melakukan kejahatan didunia. Jika Tuhan bertindak sedemikian, maka tidak adillah Allah dan ini meyalahi prinsip asas aliran Muktazilah yang lima.(Fazlur Rahman, hlm 68)

        Maka, muktazilah menolak mereka yang melakukan dosa besar masuk syurga bahkan mereka akan kekal di neraka selama-lamanya jika tidak sempat bertaubat. Begitu juga mereka menolak syafaat orang-orang yang dipilih oleh Allah untuk dikurniakan kepada orang lain. Orang yang melakukan dosa besar tanpa sempat semasa hidup di dunia pasti akan dimasukkan kedalam neraka atas dosanya dan orang yang melakukan amalan kebaikan akan dimasukkan kedalam syurga. Mengikut golongan Muktazilah inilah keadilan yang dimaksudkan seperti mana asas alirannya yang berpegang dengan keadilan Tuhan. Mereka mengatakan Allah tidak akan sesekali memungkiri janjinya dan setiap yang dikatakan pasti akan dilakukan. Jadi setiap perbuatan manusia di dunia pasti akan dihitung pada hari akhirat kelak untuk menentukan sama ada tempatnya syurga atau neraka. Itu adalah kepastian yang semua umat manusia mengetahuinya.

Oleh itu, ingin ditegaskan bahawa bagi golongan Muktazilah syafaat pada hari akhirat adalah ditolak kerana bagi mereka bercanggah dengan al-wa’d dan al-wai’d serta menyalahi keadilan Tuhan. Tuhan tidak akan memaafkan orang yang telah melakukan dosa besar di dunia kerana jika itu berlaku bermakna Allah telah memungkiri janji-Nya.


5.      Penutup

Kemunculan Mu’tazilah sebagai sebuah sekolah pemikiran dalam sejarah tamadun Islam memberi pelbagai kesan terhadap perkembangan intelektual, politik, dan sejarah umat Islam .Dari sudut intelektual ,Muktazilah dilihat memberi kesan yang besar dalam kemunculan sekolah-sekolah pemikiran tradisional dan moden . Mu’tazilah menjadi lambang kepada kebebasan berfikir dan membentuk aliran rasionalisme dalam sejarah pemikiran Islam. Mereka banyak terpengaruh dengan buku-buku falsafah Greek. Sumbangan meraka terhadap penyusunan ilmu teologi secara sistematik juga memberi suntikan kepada pengembangannya sehingga ke hari ini.

Dari sudut politik, Mu’tzilah mengalami zaman keemasannya dizaman pemerintahan Khalifah Harun al-Rashid, yang mana mazhab Mu’tazilah menjadi mazhab rasmi bagi kerajaan ketika itu maka berlakulah penindasan terhadap golongan yang menentang pegangan-pegangan mereka seperti yang berlaku keatas Imam Ahmad bin Hanbal. Akhir sekali, sebagai saranan kepada pengkaji-pengkaji aliran pemikiran dalam Islam perlulah melihat secara menyeluruh terhadap mazhab Mu’tazilah sama ada dari sudut positif dan negatif


Mazhab Muktazilah sependapat dengan mazhab Qadariyah dalam menyatakan hukum perbuatan manusia. Ini kerana mazhab Qadariyah juga menyatakan pendapat yang sama dengan mazhab Muktazilah dalam menetapkan hukum orang yang melakukan dosa besar. Pengaruh besar Wasil bin Ata’ iaitu ketua mazhab Muktazilah ini, telah menyebabkan perkembangan yang meluas dikalangan pengikutnya dan seterusnya dijadikan pegangan akidah sebahagian umat Islam. Mazhab ini juga di dukung oleh kumpulan lain yang dikenali wasiliyah, iaitu kumpulan yang condong kepada mazhab Muktazilah

Oleh itu, bolehlah dikatakan Muktazilah merupakan aliran keagamaan yang ekstrim menggunakan akal serta membuat takwilan mengenai ayat-ayat al-Qur’an. Walaupun pada asasnya mereka mempunyai banyak jasa pada zaman pemerintahan khulafah dahulunya , namun pandangan yang bercanggah dengan aliran sunnah wal jamaah telah mengakibatkan dua golongan ini sering berhujah dan berbeza pendapat.

Rujukan
A’wad bin Abdullah, 1409H. Muktazilah wa Usul al-khomsah. Riyadh: Dar al-a’simah.

Al-Nashar, Ali Sami 1975. Nash’at al-Fikri al-Falsafi Fi al-Islam, juzuk pertama cetakan
              Kesembilan. Qahirah : ar al-Ma’arif.
Al-Qaradhawi,Yusuf. Penterjemah:Abdul Hayyie. 2002. Fatwa-fatwa Kontemporer 3. Jakarta : Gema Insan       
              Press.
Ensiklopedia dunia, 2005. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa Pustaka

Ibrahim Abu Bakar 2008.   Tradisionalisme Dan Rasionalisme Dalam Ilmu Kalam.  Fakulti
            Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Zuhdi, Hasan Jarullah. 1947. A l muktazilah. Qahirah : al-Ahliah lil Nasr wa Tauzi’.

No comments:

Post a Comment