Tuesday, April 5, 2011

CARA MENGATASI DAN MEMBENDUNG JENAYAH



1.      Pengenalan
       Warga Malaysia semacam tidak lagi berasa selamat di negara ini.Jenayah negeri dan tidak masuk akal dilaporkan setiap hari. Sudah tidak selamat lagi untuk beriadah, ke sekolah, berada di tempat kerja dan berehat di kawasan Rehat dan Rawat di lebuh raya. Menurut Laporan Kualiti Kehidupan , kadar jenayah setiap seribu penduduk meningkat 3.8 peratus pada kepada 6.2 peratus pada 2002.  Akibatnya, kapasiti muatan penjara sudah melebihi. Mereka yang dihukum oleh sebab jenayah kini berada di penjara yang sudah padat. Malah, nisbah warder dan banduan melebihi standard antarabangsa.

           Dalam statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2004 pernah didedahkan setiap hari di negara ini 1.5 orang dibunuh, 4.7 dirogol, 68.2 insiden pecah rumah, 23.6 kereta dicuri, 141.3 motosikal dicuri dan 41.9 insiden rompakan. Malah, jenayah membabitkan juvana juga meningkat. Mereka yang terbabit nampaknya semakin muda termasuk yang terjebak dalam jenayah dadah dan seksual. Pada 2006 ada 8,113 kes juvana dan 3,545 pelajar ditahan. Pengaruh televisyen dan internet yang mengandungi unsur ganas dan seks dikenal pasti mempengaruhi peningkatan jenayah di kalangan remaja dan kanak-kanak.

           Seramai 1,831 membabitkan remaja bersekolah. Dalam sesetengah kes ada yang membabitkan kanak-kanak seawal umur 7 hingga 10 tahun. Pelbagai langkah dilaksanakan untuk mencegah jenayah di negara ini. Kami berpendapat selagi tidak ada suatu ketegasan dan kesungguhan untuk membanteras jenayah daripada puncanya, selagi itulah peningkatan jenayah akan berterusan. Janganlah hendaknya kenyataan negara maju seperti di Amerika Syarikat yang menjadi antara negara yang paling bahaya untuk diduduki menjadi realiti di negara ini.


2.      Konsep Jenayah

Keamanan dan kestabilan sesuatu tempat atau negara bergantung  bukanlah sesuatu yang semula jadi. Ia mesti diwujudkan dan dikekalkan . keamanan dan kestabilan tidak akan wujud jika terdapat anasir-anasir yang menggugatnya seperti pengacau, pencuri, perosak, pemera, perasuah dan sebagainya. Pengawalannya dan pembanterasan anasir-ansir tersebut menjadi tugasundang-undang jenayah. Manakala perbuatan yang menggugat tersebut dekenali sebagai “jenayah”.

 Perbuatan yang diakatakan jenayah itu mestilah dihalang atau diambil tindakan seperti menangkap pelakunya. Mahkamah diperlukan untuk menentukan pelaku jenayah itu bersalah atau tidak. Selepas dihukum bersalah, maka perlu pula dikenakan hukuman keseksaan supaya pesalah itu serik, orang lain selamat dan akhirnya masyarakat menjadi selamat, tenteram dan stabil. Begitulah secara kasarnya konsep jenayah, dan daripada konsep ini definisi jenayah dapat dibuat.

2.1.Definisi Jenayah
      Daripada konsep undang-undang jenayah ciptaan tersebut maka definisi jenayah ialah sebarang perbuatan (tinggalan) yang melanggar undang-undang yang boleh diambil tindakan (seperti ditangkap) dan diadili (melalui mahkamah) dan apabila disabitkan bersalah dikenakan hukuman keseksaan. Idea asas apa yang dikatakan jenayah ialah apa-apa yang boleh memberikan masalah atau kesusahan kepada orang lain. Sebagai contoh, semua orang bersetuju bahawa mencuri dan mencederakan/membunuh orang lain adalah perbuatan jenayah.
Jenayah di Malaysia disabitkan dengan :
“UNDANG-UNDANG MALAYSIA  Akta A324  AKTA KANUN ACARA JENAYAH (PINDAAN DAN PERLUASAN) 1976 “


·         Akta ini bolehlah dinamakan Kanun Keseksaan
·         Seksaan bagi kesalahan yang dilakukan dalam Malaysia
Tiap tiap orang bolehlah dikenakan seksaan dibawah Kanun ini dan tidak dibawah mana mana undang undang lain bagi tiap tiap perbuatan atau ketinggalan yang berlawan dengan peruntukannya yang dilakukannya di dalam malaysia.
·         Seksaan bagi kesalahan yang dilakukan diluar Malaysia tetapi boleh disisi undang undang dibicarakan dalam Malaysia.
Seseorang yang disisi undang undang kena dibicarakan kerana suatu kesalahan yang dilakukan di luar Malaysia hendaklah dibicarakan menurut peruntukan Kanun ini kerana apa apa perbuatan yang dilakukan di luar Malaysia sama seolah olah perbuatan itu dilakukan dalam Malaysia.

3.      Senario  Jenayah Kini
        Kadar di Malaysia lebih tinggi daripada kadar yang boleh diterima di peringkat antarabangsa iaitu 1:3. Penjara kita hanya boleh memuatkan 31,000 tahanan tetapi kini ada 39,000 tahanan. Kini ada 9,974 warder dan ini menjadikan kadar kita ialah 1:4.5. Dilaporkan hampir semua penjara kita sudah melebihi muatan. Kita juga menerima laporan bahawa 16 penjara lagi akan dibina. Baru-baru ini kilang Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terbiar dicadangkan juga akan diguna untuk ditukar menjadi penjara sementara.
  Sebagai reaksi, kerajaan menambahkan anggota polis di bandar raya itu di samping rondaan lebih kerap termasuk rondaan helikopter pada setiap malam. Apa yang lebih mencemaskan kita ialah bukan saja kekerapan jenayah meningkatkan namun lebih membimbangkan ialah jenis jenayah berat juga meningkat. Kadar kes bunuh, rompakan bersenjata, ugut, rogol dan gangsterisme didapati meningkat Angka semakin merisaukan kerana kini kadar jenayah dilaporkan meningkat lebih daripada 15 peratus di seluruh negara. Hampir semua negeri mencatat kenaikan kadar jenayah




3.1.Statistik Jenayah Negara
     
-tunjukkan jadual statistik-

4.      Punca Berlakunya Jenayah


4.1.Sistem  dan Persekitaran Sosial yang Tidak Sihat
Jenayah merupakan produk sosial yang berkembang dalam sesuatu sistem dan persekitaran sosial masyarakat. Jika sistem dan persekitaran sosial yang wujud tidak sihat, gejala sosial akan mudah menular, dan akhirnya menjurus kepada peningkatan kadar jenayah yang tinggi dalam masyarakat tersebut. Sistem sosial yang menjadi punca berlakunya kepincangan masyarakat dewasa ini, bukan sahaja disebabkan oleh kelemahan institusi keluarga, malah unsur-unsur asing atau budaya kuning merupakan pemangkin kepada kebejatan moral, dan seterusnya memberi memberi impak yang negatif sehingga menyumbang kepada peningkatan kadar jenayah yang berlaku dalam masyarakat yang terbabit.
Struktur kelas sosial golongan bawahan yang luas memungkinkan gejala sosial semakin berleluasa. Keadaan ini akan mengancam keselamatan rakyat di negara kita. Persekitaran sosial yang buruk juga boleh menyebabkan berlakunya kemelut sosial yang menjadikan sesuatu kawasan tidak dapat menarik minat golongan pengusaha untuk memajukannya bagi kegiatan perniagaan, pelancongan, dan perusahaan. Kawasan yang mempunyai kadar jenayah yang tinggi dianggap mempunyai risiko yang menyebabkan kerugian dari segi pelaburan.

4.2.Kelemahan Institusi Kekeluargaan
 Bolehlah dikatakan bahawa punca-punca keruntuhan akhlak  yang utama adalah kemerosotan dari segi asuhan, didikan, bimbingan serta kawalan oleh ibu bapa atau penjaga. Selain itu, tekanan  hidup, sikap mengejar kemewahan serta penglibatan dalam aktiviti sosial lain menyebabkan ibu bapa  dan anak kurang  mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang, berdamping antara satu sama lain. Malah  ada yang jarang bersua muka. Keadaan ini menyebabkan remaja membawa cara hidup sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa.

Keluarga yang terlalu mewah cara hidupnya  juga menyebabkan keruntuhan disiplin remaja. Sebagai contoh, ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak kerap memberikan  wang saku  yang terlalu banyak. Perbuatan ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi  oleh remaja lain yang bersuka-suka. Kesan pergaulan  bebas dan terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya  yang rosak akhlak akan memburukkan lagi keadaan. Juga sikap ibu bapa  yang tidak mengambil berat  tentang kelakukan dan pergaulan anak  remaja  mendorong pada kerosakkan ahklak. Remaja yang terlalu awal terdedah kepada alam masyarakat yang mempunyai sikap yang kompleks tanpa bimbingan mencukupi daripada ibu bapa juga merupakan  salah satu faktor keruntuhan akhlak.
  Antara punca-punca lain keruntuhan akhlak yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah alam rumah tangga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku dalam keluarga, keadaan sosio-ekonomi yang sempit, suasana rumah tangga yang tidak harmonis dan tenteram serta tidak keupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anaknya boleh juga membawa kepada kancah keruntuhan moral

4.3.Pengaruh Rakan sebaya
Pengaruh rakan sebaya juga merupakan punca berleluasanya kegiatan jenayah dalam kalangan belia dan remaja kerana mereka sungguh rapat dengan rakan-rakan sebaya mereka. Meeka  lebih banyak menghabiskan masa mereka di sekolah dan selepas pulang dari sekolah pula, mereka akan melepak di tempat-tempat tertentu seperti pasar raya sebelum pulang ke rumah. Mereka lebih suka mencari rakan sebaya untuk menemani mereka. Jika mereka bijak memilih rakan yang dapat memimpin mereka, mereka tidak akan mudah terjebak dengan kegiatan yang tidak bermoral. Sebaliknya jika mereka tersalah pilih rakan sudah pasti mereka juga akan berkelakuan tidak bermoral kerana sememangnya remaja mudah terikut-ikut perangai rakan. Di sinilah berpuncanya kegiatan jenayah seperti peristiwa membakar sekolah, kes ragut, dan sebagainya.
Memilih rakan-rakan yang tidak beriman dan tidak berakhlak mulia akan menjadikan remaja lebih mudah tergelincir dan terperusuk ke lembah kemaksiatan. Pengaruh daripada rakan sebaya adalah lebih kuat impaknya daripada pengaruh keluarga.  Seseorang remaja yang tidak kuat pegangan akidah Islam dan memiliki ilmu pengetahuan Islam yang cetek akan berasa amat sukar dan tertekan untuk mematuhi perintah dan larangan Allah SWT.  Mereka akan merasa lebih selesa untuk berkompromi ataupun menyembunyikan keIslamannya di hadapan rakan-rakan yang membenci ajaran Islam. Sebaliknya, mereka pula akan menjauhkan diri daripada rakan-rakan yang mengajak kepada Islam kerana perasaan khuatir akan kelihatan tidak cool apabila bersama dikalangan rakan-rakan pilihan mereka. 

          Apabila situasi sebegini berlaku, maka seseorang itu akan terjebak ke lembah kemaksiatan, di mana tidak ada beza hidupnya daripada rakannya yang tidak beriman.  Akibat memilih rakan yang salah, maka rosaklah kehidupan seseorang itu, hatinya menjadi rosak dan akan kehilangan pegangan Deen Islam yang sepatutnya.

4.4.Kurang Penghayatan Agama dan Nilai Murni

  Peningkatan kadar jenayah dalam masyarakat moden juga berlaku kerana kemerosotan nilai murni dalam kehidupan individu dan masyarakat. Sikap mementingkan diri sendiri dan cemburu akan kesenangan dan kejayaan orang lain mendorong berlakunya perbuatan jenayah. Masyarakat semakin hilang kekuatan dan terdedah kepada pelbagai ancaman jenayah kerana ketandusan nilai murni dan nilai moral. Jenayah yang berlaku dalam masyarakat mempunyai kaitan dengan penyakit dan masalah
         Natijah dari kehilangan Islam sebagai sebuah Sistem Pemerintahan yang diterapkan keatas umat manusia pada hari ini, semakin ketara terlihat didalam seluruh aspek kehidupan.  Kepincangan sistem sosial yang tidak berlandaskan Islam didalam kehidupan masyarakat dapat dirasai samada kita hidup di negara-negara yang dipimpin oleh penguasa Islam mahupun bukan Islam.  Sudah tentunya, tiada yang lebih menyedihkan apabila kita terpaksa menyaksikan bagaimana hinanya anak-anak remaja kita dibesarkan didalam sistem Sekular Kapitalis yang penuh dengan kekufuran, malahan lebih buruk apabila sebahagian dari mereka seperti telah kehilangan nilai-nilai keperibadian Islam, tidak kurang juga yang terpesong pegangan akidahnya.

5.      Langkah-Langkah Mengatasi dan Membendung Masalah Jenayah

Setelah dibuat kajian dan diteliti, maka dapatlah kiranya kami lampirkan disini sedikit ulasan kami sebagai pendekatan untuk membanteras jenayah daripada terus menular di dalam negara kita. Langkah-langkah yang kami sediakan ini merupakan langkah-langkah yang bersifat praktikal yang mampu dilakukan oleh individu atau organisasi yang terlibat. Semoga ini akan dapat menjadikan negara kita lebih selamat pada masa akan datang. Antara langkah-langkah tersebut ialah;
5.1. Penguatkuasaan Undang-Undang

Undang-undang adalah cetusan kuasa kenegaraan untuk memelihara keamanan, kesejahteraan dan pada amnya kebaikan sejagat manusia. Organisasi yang terlibat dalam menggubal undang-undang ialah pihak kerajaan. Justeru undang-undang yang digubal mestilah menekankan aspek keselamatan secara lebih serius. Hal ini kerana natijah daripada pelaksanaan undang-undang itu nanti ialah untuk menyedarkan masyarakat dan setiap golongan individu agar saling menghormati nilai kemanusiaan yang ada pada individu lain. Justeru mereka akan lebih menghargai dan berfikir panjang sebelum melakukan sebarang bentuk jenayah.
Setelah undang-undang digubal oleh pihak yang berwajib, maka undang-undang tersebut akan dilaksanakan oleh pihak lain pula seperti Polis Diraja Malaysia, Badan Pencegah Rasuah dan lain-lain. Namun begitu masih timbul keraguan dalam sistem perlaksanaan undang-undang pada masa kini. Hal ini kerana badan-badan berwajib tersebut juga terdiri di dalamnya segelintir individu yang pecah amanah dengan terlibat dalam kegiatan tidak bermoral tersebut. Sebagai contoh, ada individu yang telah ditahan oleh pihak tertentu tetapi dilepaskan atas alasan yang tidak munasabah dan dalam situasi lain ada yang dilepaskan hanya kerana mereka terlibat dalam barisan kepimpinan negara. Pelu diingat disini bahawa, setiap individu yang berada dibawah kawasan tanah Malaysia adalah bernaung dibawah undang-undang yang sama.            
   Oleh itu sesiapa yang melakukan jenayah, maka dia perlu ditahan dan dikenakan tindakan, walaupun dia mempunyai status atau kedudukan yang tinggi. Justeru pihakberwajib haruslah mempunyai suatu mekanisme tambahan untuk membendung gejala pecah amanah dalam institusi mereka terus bermaharajalela.

5.2.Mewujudkan Konsep Bandar dan Pekan Selamat

      “Definisi Bandar Selamat” Bandar yang bebas dari semua ancaman fizikal, sosial dan mental. Pernyataan ini merujuk kepada persekitarannyayang  sentiasa berada dalam keadaan paling terpelihara. Terpelihara di sini bermaksud mempunyai suatu struktur asas pencegahan jenayah yang mampu untuk memelihara penduduknya atau orang awam daripada terbabit dengan jenayah atau menjadi mangsa kepada penjenayah. Jika hal ini dipandang dan diteliti dengan lebih jelas, usaha-usaha kerajaan dalam mewujudkan pecan atau Bandar selamat memang wujud. Namun begitu, ada sesetengah tempat yang dilihat berlakunya pengabaian keselamatan. Dengan ini si pelaku jenayah akan mempunyai peluang yang cerah untuk meragut, merompak, rogol dan sebagainya. Seharusnya kerja-kerja penambahbaikkan ini dipercepatkan lagi dan diteruskan pula ketempat tempat panas lain yang mana menjadi sasaran penjenayah.
        Antara usaha yang dilakukan ialah, membangunkan prasarana-prasarana keselamatan seperti mengasingkan jalan untuk pejalan kaki dengan jalan raya, hal ini boleh mengelakkan jenayah ragut. Seterusnya ialah mewujudkan pondok-pondok polis di kawasan tumpuan umum. Usaha ini boleh membantu dalam mengawal dan memantau aktiviti-aktiviti yang mencurigakan dikawasan terbabit.
  Seterusnya ialah setiap masyarakat yang berada di kawasan-kawasan panas ini semestinya wajib untuk sama-sama menjaga keselamatan diri dan orang di sekeliling mereka. Mereka juga boleh sama-sama turun padang membantu pihak yang berwajib menjaga keamanan setempat. Sebagai contoh mengadakan rondaan secara bergilir-gilir pada waktu malam. Perkara ini jika dilakukan bukan sahaja akan membuatkan penjenayah berfikir dua kali sebelum melakukan sebarang bentuk jenayah di kawasan terbabit, malah akan mengeratkan lagi ukhwah antara mereka.

Pada masa kini ada kawasan yang menggunakan khidmat pengawal keselamatan. Hal ini bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin. Ini juga bertujuan untuk membantu golongan yang berkerjaya yang mana mereka ini sukar untuk memberikan komitmen dalam aktiviti rondaan di sekitar kawasan perumahan mereka terutama pada waktu malam. Justeru kaedah menggunakan pihak pengawal keselamatan juga dilihat sebagai suatu inisiatif berkesan dalam membantu mengawal aktiviti jenayah di sesebuah kawasan.

5.3.Memperkasakan Ekonomi Negara
  Antara faktor yang menjadikan seseorang itu berstatuskan penjenayah adalah akibat sistem kewangan diri yang tidak stabil. Hal ini telah menyebabkan mereka mengambil jalan mudah untuk keluar daripada masalah yang mereka hadapi iatu dengan cara melakukan jenayah seperti meragut, merompak dan pecah rumah. Justeru dengan saranan agar ekonomi negara diperkasakan, maka akan timbul banyak peluang pekerjaan bagi menampung lambakkan golongan yang bergelut untuk hidup ini. Mereka yang terpaksa memilih bidang jenayah sebagai alternatif untuk mereka menyara hidup mereka tidak boleh disalahkan secara seratus peratus. Hal ini kerana desakkan hudup pada masa kini terutama mereka yang tinggal diibu kota amat meruntun mereka untuk berjuang bagi mencari sesuap nasi.
    Para penganalisis dan perintis ekonomi kerajaan boleh merangka suatu pendekatan yang bersifat sistematik dalam menyediakan pekerjaan kepada mereka. Hal ini kerana, ada dikalangan mereka yang mempunyai latar belakang akademik yang tinggi namun sukar untuk mendapatkan pekerjaan. Mereka ini boleh digunakan oleh kerajaan untuk menjana ekonomi setempat. Antara cara untuk memperkasakan ekonomi ialah dengan menarik masuk para pelabur luar untuk melabur dalam neagara kita atau dengan lebih spesifiknya pada tempat-tempat yang mempunyai jumlah penggangguran yang tinggi. Justeru peluang pekerjaan untuk pemuda-pemudi tiang negara dapat ditingkatkan.
         Sistem ekonomi yang mampan dapat memastikan keberlangsungannya kemajuan sesebuah negara. Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun bolehlah menjadikan negara-negara maju yang lain sebagai contoh dalam melaksanakan pembangunan ekonomi mereka. Sebagai contoh di sini ialah negara Jepun, Jepun merupakan sebuah negara yang sering kali berada dalam keadaan yang genting. Terbaru negara tersebut telah mengalami kemusnahan yang teruk akibat daripada bencana alam yang menimpa. Namun begitu, mereka yakni kerajaan Jepun telah merangka suatu strategi susulan sekiranya mereka mengalami sebarang masalah akibat bencana alam. Seperti menarik semula aset-aset mereka yang berada di luar negara masuk ke dalam negara mereka semula. Ditambahkan lagi dengan kedudukan mereka sebagai salah sebuah negara G7 yang berpengaruh dalam kuasa ekonomi dunia.
          Namun yang paling ketara dan perlu untuk kita contohi ialah berkenaan penggunaan sumber tenaga manusia. Jepun merupakan sebuah negara yang begitu menitik beratkan masalah sumer tenaga manusia. Mereka amat prihati dengan masalah pekerja sehinggakan mampu untuk menjadikan seseorang pekerja itu sanggup bertungkus lumus bekerja bagi menjana ekonomi negara. Sikap dan langkah sebegini yang harus ditiru oleh negara-negara lain seperti Malaysia untuk membangunkan kuasa ekonomi Malaysia. Justeru masalah berkaitan jenayah ekonomi seperti pemerdagangan manusia, rasuah, penipuan duit syarikat adalah sama sekali dapat dihapuskan kerena kesedaran yang timbul akibat penjanaan ekonomi yang mampan.

5.4.Kempen-kempen Pencegahan Jenayah
kempen yang kebiasaannya diadakan mampu meningkatkan kesedaran dalam kalangan para remaja terutamanya peringkat sekolah rendah. Hal ini kerana antara faktor yang menyumbang dalam timbulnya minat untuk melakukan jenayah dalam kalangan pelajar sekolah ialah kurangnya pendedahan berkenaan jenayah dan akibat mereka melanggar undang-undang negara. Kempen yang dilakukan haruslah mempunyaimatlamat yang jelas dimana para pelajar ini akan didedahkan dengan pelbagai aktiviti berkenaan ancaman jenayah. Mereka akan dibawa untuk mendekati dunia penjenayah. Di sana mereka akan menilai sejauh mana kehebatan seseorang penjenayah kerana akhirnya mereka akan dihukum juga dengan hukuman setimpal dengan perbuatan mereka. Secara tidak langsung, mereka akan menanamkan dalam diri mereka bahawa penjenayah dan jenayah itu merupakan sesuatu yang buruk dan jijik.
Sebagai seorang manusia yang sihat mereka tidak akan menerima sesuatu yang bertentangan dengan fitrah mereka yang sukakan kebaikkan dan keindahan. Justeru pepatah ’melentur buluh biarlah daripada rebungnya’ amat sesuailah dipraktiskan disini. Antara kempen pencegahan jenayah yang sering diadakan di sekolah adalah seperti tayangan video, pameran berunsurkan aktiviti jenayah dan mewajibkan jemputan kepada pegawai polis untuk hadir memberi ucapan mengenai kegiatan jenayah, kesan dan hukuman kepada pesalah.
Kempen-kempen pencegahan jenayah ini bukan sahaja perlu dilakukan di sekolah-sekolah, malah boleh juga dilakukan ditempat-tempat awam atau tempat yang menjadi tumpuan umum. Masyarakat yang berpontensi untuk terlibat dengan jenayah ini akan mendapat input-input berguna untuk mereka ketahui bagi berdepan dengan masalah jenayah ini. Antara tempat-tempat tumpuan orang awam ialah pusat-pusat membeli belah, pasar-pasar malam dan taman permaianan. Diharapkan semua pihak yang mendengar atau mengikuti kempen tersebut akan lebih berwaspada dengan kegiatan jenayah yang mungkin berlaku dan seterusnya mengetahui langkah langkah yang berkesan sekiranya mereka berhadapan dengan situasi tersebut.
Antara impak tambahan ialah dapat menyedarkan penjenayah yang berada dalam kawasan berhampiran dengan kempen yang dijalankan. Si penjenayah pasti akan berfikir panjang sebelum melakukan jenayah di kawasan terbabit kerana rata-rata pengunjung akan mengambil langkah keselamatan seperti yang diajar dan hal ini akan meningkatkan risiko mereka akan ditangkap atas jenayah yang dilakukan. Atau sekurang-kurangnya mereka akan sedar bahawasanya tiada gunanya mereka melaksanakan aktiviti yang tidak bermoral terbabit dan insaf serta kembali kepangkal jalan.


5.5.Pengenalan Semula Mata Pelajaran Sivik dan Kewarganegaraan

Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) dapat membentuk keperibadian para remaja yang mulia dan juga dapat berperanan untuk memupuk nilai-nilai murni dalam diri setiap remaja. Peribadi dan nilai-nilai murni merupakan sesuatu yang berkait rapat. Hal ini kerana nadi kepada pembangunan negara pada masa akan datang adalah terletak kepada generasi muda pada masa kini. Justeru itu individu ini perlulah dididik dengan didikan yang sempurna untuk membantu mereka membesar dalam keadaan sihat dan berdaya saing. Perkara yang paling mustahak ialah agar mereka terhindar daripada melakukan sebarang aktiviti yang berkaitan dengan jenayah. Sekiranya mereka terjebak, amat sukar untuk kita membetulkan semula diri mereka.
 Justeru kata-kata ’mencegah lebih baik daripada menghormati’ perlulah dihayati oleh setiap pihak. Saranan agar memberi penekanan kepada subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) merupakan suatu saranan agar kerajaan dan pihak sekolah melihat subjek ini sebagai suatu mekanisme atau pendekatan yang efektif untuk menjadikan para pelajar celik jenayah.
Antara isi kandungan yang perlu ada di dalam subjek tersebut ialah seseorang individu berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapinya tanpa unsur-unsur keganasan, memahami kepelbagaian agama, budaya serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Setiap individu perlulah memahami hak dan keadaan orang lain agar mereka tidak mengambil kesempatan terhadap orang lain. Hasil positif yang akan wujud ialah apabila isi kandungan ini dihayati sepenuhnya oleh para pelajar, maka mereka akan keluar ke dunia sebenar kelak dalam keadaan penuh berpelingdung yang dapat menangkis sebarang godaan untuk mereka terjebak dalam kancah jenayah. Seterusnya bukan sahaja dapat mengurangkan peratus jenayah, malah mungkin dapat membasminya secara total.

6.      Kesimpulan

 Peningkatan kadar jenayah dalam masyarakat moden berhubung kait dengan etika dan peraturan sosial. Dalam mewujudkan masyarakat yang beretika, langkah yang wajar ialah kerjasama daripada semua lapisan masyarakat itu sendiri. Masyarakat yang beretika mempunyai tanggungjawab sosial dan moral yang kukuh dalam membanteras pelbagai bentuk jenayah. Jika tidak, lunas etika yang lemah boleh menyebabkan wujudnya krisis dan dilema dalam masyarakat kerana kecenderungan pihak tertentu untuk melakukan jenayah pastilah sukar dibendung. Jenayah akan terus meningkat dan menjadi lebih kritikal sekiranya etika tidak menjadi tunjang pembinaan masyarakat dan negara.

          Masalah jenayah yang mengancam masyarakat dan negara tidak boleh dibanteras tanpa kerjasama semua pihak. Keberkesanan sistem perundangan juga penting demi membanteras fenomena tersebut. Undang-undang memberi kuasa kepada pihak berwajib seperti polis dan pasukan keselamatan, untuk membantu dalam melindungi masyarakat dan negara daripada ancaman sebarang bentuk jenayah. Undang-undang perlu memberi lebih banyak kuasa kepada polis untuk melaksanakan tanggungjawab mereka demi kesejahteraan rakyat.

 Pengukuhan kuasa juga membolehkan pihak yang berwajib ini bertindak dengan lebih tegas bagi mengatasi masalah jenayah, khususnya jenayah yang melibatkan pihak yang mempunyai pengaruh termasuk wang, kuasa, dan kedudukan yang tinggi. Kerjasama polis dan masyarakat setempat merupakan konsep pemuafakatan bijak yang berkesan dan sesuai dengan konsep membebaskan masyarakat dan negara daripada jenayah.


7.      Rujukan

Zainal bin Madon,Mohd Sharani bin Ahmad. 2004. Panduan Mengurus Remaja    Moden.  Pahang:PTS Publications & Distributors Sdn Bhd.
Syed Hussain al-Attas. 2002. Kemana Dengan Islam:22 Artikal Pilihan. Kuala Lumpur :Utusan   Publications & Distributors.
Mahmood Nazar Mohamed. 2006. Mencegah,Merawat dan Memulih Penagih Dadah:  
Beberapa Amalan Dan Pendekatan di Malaysia. Kuala Lumpur: Utusan       Publications &      Distributors.
Fariza Md Sham,Sulaiman Ibrahim,Ideris Endot. 2000. Dakwah dan Perubahan Sosial. Kuala      Lumpur : Utusan Publications & Distributors.
Zaini Nasohah. 2004. Syariah dan Undang-Undang : Satu Perbandingan. Kuala Lumpur :   
           Utusan Publications & Distributors.

11 comments:

  1. tq ... info berguna :)

    ReplyDelete
  2. Terima kasih kerana informasi yang inshaAllah berguna ini

    ReplyDelete
  3. sangat membantu dalam membuat karangan. terima kasih!

    ReplyDelete
  4. Asslm, mohon izin utk gunakan info yg diberi sbg teks ceramah boleh? Hrp diizinkan..terima kasih.

    ReplyDelete
  5. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  6. Syukran...kerana berkongsi maklumat. Moga ilmu anda beertambah

    ReplyDelete